Majlis Perniagaan Malaysia-TPP AS dirasmikan

Majlis Perniagaan Malaysia-TPP AS dirasmikan

NEW YORK, 26 Ogos – Majlis Perniagaan Malaysia-TPP (Perkongsian Trans-Pasifik) Amerika Syarikat (MTPPBCA) telah dirasmikan semalam, bertempat di Flushing, New York.

Flushing merupakan satu daerah yang mengandungi kelompok kaum Cina teramai, termasuk dari Malaysia, dan sering dipanggil sebagai ‘Chinatown Kedua New York,’ ia merupakan kawasan penghijrahan kaum Cina yang pertama di Manhattan.

Pembentukan majlis itu dibuat bagi membetulkan salah faham mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Bagaimanapun, selain TPP, ia sebenarnya mempunyai mandat yang lebih luas khususnya bagi menyokong kepentingan Malaysia dalam meningkatkan hubungan perdagangan, perniagaan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS). Majlis itu juga akan membantu usaha Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang berpejabat di New York.

Idea bagi mewujudkan majlis itu berasal daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan bersama Pengerusi Persatuan Cina Malaysia Amerika (MCA), Kim Bong.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di New York, Muhd Shahrulmiza Zakaria (tiga kanan) dan ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di New York dan ketua masyarakat Kim Bong (dua kanan) ketika mengadakan mesyuarat pada Majlis Perniagaan Malaysia-TPP (Perkongsian Trans-Pasifik) Amerika Syarikat (MTPPBCA) yang lalu. MTPPBCA telah dirasmikan semalam, bertempat di Flushing, New York. - Bernama
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di New York, Muhd Shahrulmiza Zakaria (tiga kanan) dan ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di New York dan ketua masyarakat Kim Bong (dua kanan) ketika mengadakan mesyuarat pada Majlis Perniagaan Malaysia-TPP (Perkongsian Trans-Pasifik) Amerika Syarikat (MTPPBCA) yang lalu. MTPPBCA telah dirasmikan semalam, bertempat di Flushing, New York. – Bernama

Kim Bong merupakan seorang ahli perniagaan Malaysia di New York dan beliau juga menjadi pemimpin kepada kelompok rakyat Malaysia yang tinggal di New York, New Jersey dan Connecticut.

Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan MCA, Goh Boon Huat, yang turut hadir dalam perasmian MTPPBCA, memberitahu sejarahnya bermula apabila Kim Bong terbang ke Malaysia bagi membincangkan pembentukan majlis tersebut dengan Ong.

Majlis itu juga boleh dijadikan landasan untuk memperoleh lebih banyak peluang perniagaan dan perdagangan, termasuk pelaburan langsung asing.

Goh melahirkan kekaguman dengan kehadiran ramai ahli-ahli perniagaan di majlis perasmian tersebut.

“Kim Bong berjaya mengumpulkan ahli-ahli perniagaan ini. Malaysia menawarkan peluang yang baik untuk pelaburan dan perniagaan, termasuk dalam logistik serta e-dagang, yang kami ingin promosikan kepada AS,” katanya.

Perasmian itu turut dihadiri oleh ketua-ketua pejabat kerajaan Malaysia di New York seperti Shahrulmiza Zakaria (Matrade), Lee Yong Ming (Mida) dan Ahmad Johanif Mohd Ali (Tourism Malaysia), mereka menerangkan mengenai peluang dan tarikan Malaysia dalam bidang-bidang seperti perdagangan dan perniagaan, pelaburan serta pelancongan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA