Majlis perpisahan delegasi belia Korea

Majlis perpisahan delegasi belia Korea

Oleh Pg Fairol RMF

 

SERAMAI 10 belia dari Republik Korea telah dijemput dalam Majlis Makan Malam Perpisahan yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bertempat di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Delegasi, Park Jin Young dan diikuti dengan sesi laporan oleh para peserta belia Republik Korea.

Atur cara diteruskan lagi dengan ucapan perpisahan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.

Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah ditandatangani di bawah Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara pada tahun 2010 yang antara lain bertujuan bagi membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta Program Pertukaran Belia Brunei Darussalam dan Republik Korea.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta Program Pertukaran Belia Brunei Darussalam dan Republik Korea.

Program tersebut juga bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan kedua belah pihak melalui penyertaan belia dalam program berkenaan.

Menerusi usaha ini, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperoleh faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi sosial dan politik.

Pengisian program sepanjang tempoh tersebut merangkumi lawatan-lawatan pendidikan dan tempat-tempat menarik, pendedahan terhadap adat dan sejarah Brunei, lawatan kepada masyarakat setempat, interaksi bersama belia tempatan dan program tinggal bersama keluarga angkat di mana para peserta berpeluang tinggal di rumah keluarga angkat dan berpeluang untuk mengalami cara kehidupan orang Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA