Majlis ramah mesra alumni SOAS 1977-1982

Majlis ramah mesra alumni SOAS 1977-1982

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Lebih 60 orang bekas penuntut Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) sesi tahun pengajian 1977 hingga 1982, telah menghadiri majlis ramah mesra alumni, di rumah Haji Yaakub bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof di Kampung Telanai, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di ibu negara, semalam.

Wakil bekas pelajar, Mejar (B) Pengiran Haji Hamdiah ketika menyampaikan kata alu-aluan berkata, pertemuan semula buat kali ketiga itu juga diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang baru lalu.

Di samping itu, katanya lagi sambil mengambil berkat akan Hari Raya Korban, majlis itu juga dirasakan sesuai untuk mengadakan pertemuan dan perjumpaan bagi semua bekas-bekas pelajar.

“Pertemuan semula ini juga diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak waktu sekolah dulu,” ujar beliau.

Bekas-bekas pelajar Maktab SOAS 1977-1982 yang menghadiri majlis alumni itu.
Bekas-bekas pelajar Maktab SOAS 1977-1982 yang menghadiri majlis alumni itu.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan bahawa pertemuan bekas -bekas pelajar yang kini sedang atau pernah memegang pelbagai jawatan dalam pelbagai lapangan pekerjaan akan dapat meluaskan lagi jaringan kerja antara mereka.

Beliau juga melahirkan kepercayaan bahawa majlis perjumpaan bekas pelajar itu dapat memberi peluang untuk sama-sama berkongsi khabar dan mengenang kembali detik nostalgia sewaktu sama-sama menuntut dulu.

Di akhir ucapan, beliau yang mewakili semua yang hadir mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Haji Yaakub kerana telah membiayai perbelanjaan menganjurkan majlis pertemuan itu.

Acara juga diserikan dengan cabutan nombor bertuah dan persembahan nyanyian dan permainan muzik.

ARTIKEL YANG SAMA