Majlis ramah mesra bekas penghuni Rumah Kerajaan Jalan Bahagia

Majlis ramah mesra bekas penghuni Rumah Kerajaan Jalan Bahagia

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Bekas-bekas penghuni Rumah Kerajaan di Jalan Bahagia di ibu negara (kini tempat itu telah dijadikan Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri) telah mengadakan satu majlis pertemuan semula (reunion), di Restoran Seasons, baru-baru ini.

Majlis yang telah menyaksikan pertemuan kembali sebahagian bekas penghuni rumah kerajaan Kelas E dan F itu telah dimulakan dengan bacaan Tahlil bagi memperingati ahli keluarga yang sudah kembali ke rahmatullah, dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

Majlis turut diserikan lagi dengan meraikan warga tertua bekas penghuni rumah kerajaan iaitu Haji Saim bin Abu yang sudah pun berusia 85 tahun.

Keputusan menyatukan bekas-bekas penghuni menjadi kenyataan disebabkan kemesraan yang masih terjalin kukuh sejak sekian lama semasa tinggal berjiran pada ketika itu.

Kehidupan harmoni dan bahagia diwarnai lagi dengan keriangan anak-anak penghuni telah menjadi kenangan manis dan ristaan sehingga ke hari ini.

Pelakon veteran tanah air, Pengiran Haji Mohd Don bin Pengiran Haji Besar ketika memberi ucapan ringkas.
Pelakon veteran tanah air, Pengiran Haji Mohd Don bin Pengiran Haji Besar ketika memberi ucapan ringkas.
Warga tertua bekas penghuni Rumah Kerajaan Jalan Bahagia, Haji Saim (kanan).
Warga tertua bekas penghuni Rumah Kerajaan Jalan Bahagia, Haji Saim (kanan).
Sebahagian bekas-bekas penghuni bergambar ramai pada majlis pertemuan semula itu.
Sebahagian bekas-bekas penghuni bergambar ramai pada majlis pertemuan semula itu.

Majlis itu juga berkemungkinan reunion yang pertama kali dibuat oleh mana-mana bekas penghuni Perumahan Kerajaan.

Perumahan Kerajaan di Jalan Bahagia mula dibina pada tahun 1966 (atau lebih awal lagi) dan mula didiami pada tahun 1967.

Pada tahun 1992, kawasan perumahan itu telah dimajukan semula bagi membina Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri. Kini Jalan Bahagia telah dijadikan laluan masuk menuju ke Masjid Ash-Shaliheen.

Para penganjur majlis juga berharap semoga pertemuan itu akan terus mengukuhkan hubungan silaturahim dan keakraban dalam kalangan bekas penghuni Rumah Kerajaan Jalan Bahagia dan lebih banyak program kebajikan akan dianjurkan dalam perjumpaan seterusnya.