Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Perancis

Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Perancis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Negara Brunei Darussalam dan Perancis terus mempunyai hubungan kerjasama yang erat dan akan terus menerokai pelbagai peluang untuk meningkatkan hubungan baik di antara kedua-dua buah negara.

Pada masa yang sama, Brunei juga sedang memasuki mercu tanda yang amat menarik untuk mencapai matlamat kepelbagaian ekonomi dan integrasi serantau di mana pelbagai peluang baru boleh diterokai.

Dalam hubungan itu, Perancis akan terus berdiri bersama Brunei dan akan terus terlibat dalam menerokai peluang yang amat penting di mana tempoh ini membawa pelbagai insentif bagi rakyat Brunei untuk mengukuhkan lagi keupayaan dan kemahiran mereka.

Syarikat-syarikat terkemuka Perancis akan terus bekerjasama untuk memastikan bahawa Brunei dapat melalui peralihan ekonomi dengan jayanya, jelas Duta Perancis ke Brunei Darussalam, Loan Forgeron semasa berucap pada Majlis Resepsi Bersempena Hari Kebangsaan Perancis yang diadakan di Kediaman Rasmi Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Kota Batu, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan isteri serta Forgeron yang hadir di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan isteri serta Forgeron yang hadir di majlis berkenaan.
Acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Forgeron.
Acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Forgeron.
Antara tetamu yang hadir di majlis berkenaan.
Antara tetamu yang hadir di majlis berkenaan.

Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad.

Turut hadir ialah perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta tetamu khas.

Forgeron berkata bahawa pihaknya akan terus menggalakkan pelaksanaan usaha sama di antara syarikat Brunei dan Perancis termasuk dalam bidang agri-perniagaan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pertahanan, di mana keutamaan yang ditekankan adalah bagi perkongsian ilmu pengetahuan dan pertukaran teknologi.

Hubungan Brunei dan Perancis tidak hanya terhad kepada bidang perniagaan serta pertukaran kemahiran sahaja tetapi ia juga meliputi pertukaran kebudayaan.

Dalam hubungan itu, Alliance Francaise merupakan satu-satunya institut kebudayaan asing yang berada di Brunei hampir 30 tahun di mana ia memberikan ruang dan menyediakan peluang bagi pertukaran budaya serta kerjasama Perancis.

Dalam ucapannya lagi, Forgeron juga menyatakan penghargaan kepada penduduk Brunei atas sikap peramah dan talian persahabatan yang terus mesra di antara penduduk kedua-dua buah negara.

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Forgeron serta diteruskan dengan Duta Perancis menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin dan Datin.

Majlis diserikan lagi dengan pelbagai hidangan Perancis yang disediakan khas untuk majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA