Majlis resepsi Hari Kemerdekaan Indonesia

Majlis resepsi Hari Kemerdekaan Indonesia

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam meraikan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-71 dengan Majlis Resepsi Makan Malam di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan datin.

Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Nurul Qomar dalam ucapannya melahirkan perasaan gembira melihat Indonesia dan Brunei Darussalam menjalinkan hubungan dua hala dan kerjasama yang kukuh dalam semua bidang sejak hubungan diplomatik terjalin pada tahun 1984.

Di samping kerjasama kukuh dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan, kedua-dua buah negara juga telah berjaya dalam kerjasama sosiobudaya dan pendidikan serta sempadan.

“Ini melalui kerjasama akademik, program biasiswa dan pertukaran budaya termasuk lawatan warga kerajaan di semua peringkat termasuk sektor swasta,” tambahnya.

Upacara memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-71 tahun.
Upacara memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-71 tahun.

Sementara itu, menurut beliau lagi, kerjasama dalam bidang pendidikan juga menunjukkan peningkatan terutama dalam bidang pendidikan tinggi melalui projek berasaskan kerjasama seperti penyelidikan akademik dan program pertukaran di antara universiti.

Menurut beliau, setakat ini seramai 52 orang pelajar Brunei telah menyertai program pertukaran dan pembelajaran budaya dan sains sosial di universiti-universiti terkemuka Indonesia.

Manakala itu, 28 orang pelajar Indonesia menjalani pengajian di Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, tambah beliau.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam diikuti lagu kebangsaan Republik Indonesia.

Di majlis itu, Menteri Pendidikan dan Duta Besar Indonesia berserta ketua-ketua perwakilan negara ASEAN di negara ini turut memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA