Majlis Resepsi Kedutaan Republik Korea

Majlis Resepsi Kedutaan Republik Korea

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam, malam ini, telah mengadakan Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea yang berlangsung di Dewan Besar Indera Samudera, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang dialu-alukan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won-Myung selaku hos majlis.

Atur cara majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam disusuli lagu kebangsaan Republik Korea.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin hadir selaku wakil kerajaan Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin hadir selaku wakil kerajaan Brunei.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama serta isteri turut memotong kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea diikuti dengan pertukaran cenderamata.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah menjalin hubungan diplomatik pada 1 Jun 1984, sementara Konsulat Jeneral Republik Korea di Bandar Seri Begawan ditubuhkan pada 15 September 1983 dan sekarang dinaikkan ke tahap duta pada 1 Januari 1984.

Sejak itu, kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama meluas dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pertanian, pendidikan, kebudayaan dan belia, teknologi infokomunikasi, pelancongan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA