Majlis resepsi Republik Turki

Majlis resepsi Republik Turki

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Sempena Sambutan Pengisytiharan Republik Turki ke-92 tahun, Kedutaan Republik Turki di Brunei Darussalam, malam ini, telah mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah dan datin.

Kehadiran tetamu kehormat dan isteri dialu-alukan oleh Duta Besar Turki ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Oguz Ates dan isteri.

Dalam ucapan alu-aluannya di awal majlis, Tuan Yang Terutama berkata, sambutan berkenaan menandakan kemenangan peperangan kebangsaan sebagai peperangan terakhir negara tersebut untuk meraih kemerdekaan dan masa depan Republik Turki.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-100 peperangan tentera laut Gallipoli semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1915, tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan TYT Fikret Oguz Ates ketika menghormati lagu kebangsaan dari kedua-dua buah negara.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan TYT Fikret Oguz Ates ketika menghormati lagu kebangsaan dari kedua-dua buah negara.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan datin bersama TYT Fikret Oguz Ates dan isteri sama-sama memotong kek Sambutan Pengisytiharan Republik Turki ke-92 tahun.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin dan datin bersama TYT Fikret Oguz Ates dan isteri sama-sama memotong kek Sambutan Pengisytiharan Republik Turki ke-92 tahun.

Menurut beliau lagi, sebagai salah satu usaha Turki mempromosikan keamanan dan kestabilan global, serta pembangunan ekonomi dan sosial, dasar hal ehwal luar Turki juga secara proaktif berusaha membangun hubungan kerjasama bukan sahaja di Eropah bahkan ke seluruh dunia.

Katanya, hubungan erat bersama negara-negara ASEAN juga merupakan antara keutamaan Turki, yang mana, dalam tiga tahun kebelakangan ini, Republik Turki telah meningkatkan hubungan diplomatik dengan membuka tiga misi baru di Brunei, Myanmar dan Kemboja.

Menyentuh mengenai hubungan kerjasama dua hala dengan Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama berkata ia semakin berkembang terutamanya dalam bidang ekonomi dan komersial membabitkan pelaburan bersama.

“Kini lebih banyak syarikat-syarikat Turki melihat Brunei dengan minat untuk menjalankan usaha kepelbagaian ekonomi. Kami juga ingin melihat lebih ramai warga Brunei untuk berminat melabur di Turki dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Turki,” ulas TYT Fikret Oguz Ates.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara diikuti acara memotong kek sambutan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bersama TYT Fikret Oguz Ates.

Pada majlis itu, para jemputan telah disajikan makanan ala Turki yang disediakan oleh dua orang cef yang didatangkan dari negara tersebut.