Majlis ‘Reunion’ Sekolah Persediaan Kerajaan Inggeris 1957

Majlis ‘Reunion’ Sekolah Persediaan Kerajaan Inggeris 1957

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 30 Sept – Sekumpulan bekas pelajar Sekolah Persediaan Kerajaan Inggeris pada tahun 1957, baru-baru ini, telah mengadakan majlis perhimpunan semula bagi meraikan persahabatan dan mengimbau kenangan semasa berada di bangku sekolah.

Majlis telah diadakan di kediaman Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.

Semasa ditemui, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee yang juga selaku ketua Kampung Lumut 1 berkata, majlis itu merupakan perjumpaan kali ketiga bagi meraikan persahabatan yang sudah terjalin sekian lama.

Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bersama rakan-rakan beliau yang pernah menuntut di Sekolah Persediaan Kerajaan Inggeris pada tahun 1957.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bersama rakan-rakan beliau yang pernah menuntut di Sekolah Persediaan Kerajaan Inggeris pada tahun 1957.

“Terdapat banyak kenangan manis dan sejarah penting yang dapat saya kongsikan dan telah pelajari sepanjang saya bersekolah di sana dan melalui pertemuan ini, saya berasa gembira dan bersyukur dapat mendengar dan melihat perkembangan mereka dari dulu sehingga kini,” ujar beliau.

Yang Berhormat turut memberitahu bahawa bukan mudah bagi rakan-rakan sekelas beliau untuk meninggalkan sekolah tersebut setelah bertungkus lumus belajar dan merasai kejayaan selepas menduduki peperiksaan besar dahulu.

Namun beliau menyatakan perasaan bersyukur kerana sekolah tersebut telah banyak mendidiknya dan rakan-rakan yang lain untuk menjadi pemimpin di sektor-sektor kerajaan dan swasta di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA