Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negara

Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negara

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1437 Hijrah Peringkat Negara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Negara Brunei Darussalam.

Keberangkatan Baginda di majlis berkenaan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan serta rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1436 Hijrah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah para jemaah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah para jemaah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menunaikan solat berjemaah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menunaikan solat berjemaah.
Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sembah alu-aluannya.
Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sembah alu-aluannya.

pg03_151014_d

Setelah itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah berserta kerabat diraja dan para jemaah yang lain degan diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan diselajurkan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1437 Hijrah.

Sejurus selepas itu, Baginda Sultan berkenan menunaikan solat sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana serta negara beroleh kemakmuran dan kesejahteraan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Al-Quran oleh Awangku Adi Nazri bin Pengiran Jufre, pemenang tempat ketiga, Musabaqah Tilawatil Quran Peringkat Belia Asia Tenggara Tahun 1436H dan kesimpulan maknanya disampaikan oleh Awang Mohammad Yussof bin Abd Majid, Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad dalam sembah alu-aluannya berkata, tema sambutan pada tahun ini itu ‘Berhijrah untuk membangun’ lebih kepada membina kesedaran ummah, betapa pentingnya kita melihat kembali zaman kegemilangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam membangun sebuah negara Islam yang kukuh dan disegani.

Katanya, tema tersebut mengajak umat Islam supaya berfikiran positif dan berusaha untuk membangun suatu kehidupan yang lebih bermakna rohaniah dan jasmaniah.

Majlis diserikan dengan tazkirah Hijrah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, yang antara lain menyentuh mengenai sejarah penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, penghijrahan dalam kehidupan manusia kepada kehidupan yang lebih baik dan berkualiti, sempurna di dunia dan akhirat.

Bagi memberkati majlis, bacaan doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Seterusnya Baginda Sultan berkenan menunaikan solat fardu Isyak berjemaah, yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Salim.

ARTIKEL YANG SAMA