Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ke majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta ahli kerabat diraja yang lain ke majlis berkenaan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam bagi Tahun 1437 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa kerja yang lain.

Bacaan Surah Al-Fatihah membuka tirai majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyempurnakan pengurniaan titah bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah hari ini.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun ini diserikan lagi dengan ceramah bertajuk ‘Al-Quran Penawar dan Ubat Bagi Rohani Dan Jasmani’ yang disampaikan oleh Penolong Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1437H di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam tadi.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1437H di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam tadi.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Johan Kategori D, Awang Mohammad Aqiel Hidayat (atas) dan Johan Kategori B, Dayang Nur Syafiqah (bawah).
Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada Johan Kategori D, Awang Mohammad Aqiel Hidayat (atas) dan Johan Kategori B, Dayang Nur Syafiqah (bawah).

pg03_160623_c

Pemakluman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah meneruskan acara majlis dan keputusan dibacakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

Johan dalam Kategori A adalah Awang Muhammad Nurhidayatullah Al-Mu’min bin Awang Rossnan diikuti tempat kedua bersama ialah Dayang Waliyah binti Haji Kamarul Azam dan Dayang Ezyan Adibah binti Awang Mohd. Hanafi, sementara Awang Mohammad Wafiq bin Haji Saidi Ghalib Khan dan Awang Razin Hakim bin Abd Razak masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Bagi Kategori B, johan dimenangi oleh Dayang Nur Syafiqah binti Mohammad Saidi, tempat kedua, Awangku Mohamad Khairul Hakimin bin Pengiran Mohamad Aminuddin, tempat ketiga Awangku Muhammad Fakhrur Razey bin Pengiran Damit sementara Dayang Ayeshah bin Mohamed Shalahudeen, Dayang Bani Nurun Nasyithah binti Asbinin masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Kategori C, johan jatuh kepada Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran, tempat kedua Dayang Hajah Norhidayatul Mukminah binti Haji Puteh, tempat ketiga Dayang Hajah Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh, manakala Awang Muhammad Saifullah bin Rosli dan Dayang Siti Nuriezatul Afiqah Farhana binti Mohammad Sumadi masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Kategori D pula menyaksikan Awang Mohammad Aqiel Hidayat bin Haji Zulfa Hidayat tampil juara diikuti oleh Awangku Muhammad Abdul Majeed Ariffin bin Pengiran Haji Mohd Abdul Aziz di tempat kedua dan Dayang Nor Hafizah binti Haji Jahari di tempat ketiga, sementara berada di tempat keempat dan kelima adalah Awang Mohammad Saiful Wafi @ Aman bin Haji Adis dan Dayang Assrinna binti Haji Ibrahim.

Menjuarai Kategori E ialah Dayangku Hurol Hafizah binti Pengiran Haji Tejudin, tempat kedua jatuh kepada Awang Muhammad Hazri bin Haji Mohd Hamzani, tempat ketiga, Awang Irma Mohammad Hazmie bin Haji Matussin, sementara Awangku Muhammad Abd Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim dan Dayang Nurulain binti Haji Abas masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudiannya berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah kepada para pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned. Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah dikendalikan bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta syarikat DST.

ARTIKEL YANG SAMA