Majlis Santap Diraja sempena Pertabalan Sultan Perak

Majlis Santap Diraja sempena Pertabalan Sultan Perak

Gambar oleh Infofoto

 

KUALA KANGSAR, Perak, 10 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, malam tadi, berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak ke-35 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Baginda berdua di Istana Iskandariah dijunjung oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Haji Syed Zahiruddin bin Syed Hassan dan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Dato’ Seri Wan Mohd. Fathir @ Wan Fadzir bin Wan Hussain, Orang-Orang Besar Perak.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dialu-alukan oleh Sultan Nazrin dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak. Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudian berkenan menandatangani Buku Lembaran Kenangan.

Selepas itu, Baginda berdua dijunjung berangkat bersama Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim; serta Raja Muda Perak dan Raja Puan Besar Perak; Raja DiHilir Perak dan Raja Puan Muda ke Bilik Kuning bagi menyertai Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Permaisuri; Yang DiPertua Negeri-Negeri dan Toh Puan-Toh Puan; Perdana Menteri Malaysia dan isteri; Menteri Besar Perak dan isteri; serta para jemputan diraja yang lain.

PK20_090515_SANTAPAN

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ketika berkenan bertemu dengan Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara.
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ketika berkenan bertemu dengan Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara.
Gambar ramai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta para jemputan diraja yang lain.
Gambar ramai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta para jemputan diraja yang lain.

Dari Bilik Kuning, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat beredar bersama-sama Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak serta jemputan Diraja yang lain bagi sesi bergambar ramai.

Sejurus itu, kedua-dua Baginda berkenan berangkat ke Dewan Santapan berserta Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim serta para jemputan Diraja bagi Majlis Santapan Diraja.

Majlis Santapan Diraja dimulakan dengan lagu kebangsaan Malaysia, diikuti bacaan doa oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato’ Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti.

Majlis Santapan Diraja itu adalah susulan daripada beberapa Majlis Istiadat sempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak ke-35 yang berlangsung sejak 6 Mei 2015 yang lalu. Di akhir majlis, lagu kebangsaan Malaysia sekali lagi dimainkan.

Selesai Majlis Santapan Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat meninggalkan majlis.

Mengiringi keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan datin; serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

ARTIKEL YANG SAMA