Majlis Selawat 4 Daerah di Temburong

Majlis Selawat 4 Daerah di Temburong

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

TEMBURONG, 1 Jun – Kelab Khidmat dan Qasidah Pusat Belia (KHIDMAT) yang merupakan kelab di bawah naungan Jabatan Belia dan Sukan, kelmarin, telah meneruskan lagi Majlis Selawat 4 Daerah Sempena Sambutan Israk Mikraj tahun 1436 Hijrah di Daerah Temburong, yang berlangsung di Pusat Belia Temburong, Pekan Bangar.

Majlis di daerah ini telah dihadiri oleh kira-kira 80 orang yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan dan Pusat Dakwah Islamiah, ahli persatuan-persatuan, sukarelawan, para penuntut sekolah, usahawan serta orang ramai.

Dengan membawa tema ‘Belia Brunei Berselawat’, majlis telah dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Pengerusi KHIDMAT, Awang Mohd Hairollah bin Mustapha dalam ucapan alu-aluannya antara lain telah menekankan bahawa mencintai Nabi Muhammad SAW termasuk dalam kesempurnaan mencintai Allah SWT.

Mencintai orang yang dicintai oleh-Nya bererti mencintai Allah SWT dan Allah SWT tidak akan mencintai hamba yang mencintai-Nya, melainkan orang itu juga cinta kepada Rasul-Nya dan mengikuti ajaran Baginda, jelas beliau.

Awang Adi Aismat menyampaikan ceramah bertajuk ‘Solatku, Kebahagianku’.
Awang Adi Aismat menyampaikan ceramah bertajuk ‘Solatku, Kebahagianku’.
Antara yang hadir bergambar ramai di Majlis Selawat 4 Daerah Sempena Sambutan Israk Mikraj Daerah Temburong.
Antara yang hadir bergambar ramai di Majlis Selawat 4 Daerah Sempena Sambutan Israk Mikraj Daerah Temburong.

Majlis tersebut telah dipimpin oleh Kumpulan Al Mureed, Kumpulan Qasidah di bawah KHIDMAT, yang telah membawa alunan selawat dan qasidah yang menusuk kalbu.

Sementara itu, ceramah bertajuk “Solatku, Kebahagiaanku” telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Adi Aismat bin Lamat.

Majlis selawat ini akan diteruskan dengan kemuncak majlis di Daerah Brunei dan Muara pada 6 Jun di Balai Samaryuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bersama keluarga dan sahabat handai dalam memeriahkan lagi majlis yang penuh keberkatan itu.

ARTIKEL YANG SAMA