Majlis tadarus Al-Quran ditutup

Majlis tadarus Al-Quran ditutup

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Majlis tadarus Al-Quran yang diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena bulan Ramadan tahun ini, berakhir hari ini dengan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Johar bin Haji Mohammad, ketua-ketua jabatan dan bahagian, serta para pegawai dan kakitangan KHEU.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim oleh pegawai-pegawai masjid secara beramai-ramai dan Doa Khatam yang dibacakan oleh  Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin.

Untuk memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti (empat kanan) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti (empat kanan) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Tadarus Al-Quran di masjid, surau dan balai ibadat merupakan salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini, dalam suasana masyarakat Islam, tanpa mengira peringkat umur, sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekali gus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Majlis penutup tersebut telah dikendalikan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Radio Televisyen Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA