Majlis tadarus bersama mualaf

Majlis tadarus bersama mualaf

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Jun – Majlis Bertadarus dan Solat Tarawih dan Witir Rombongan Pegawai dan Kakitangan Pusat Dakwah Islamiah Bersama Mualaf bulan Ramadan tahun 1437 Hijrah telah diadakan di Balai Ibadat Kampung Melilas, Ulu Belait di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Majlis yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Belait itu antara lain bertujuan memberi pendekatan kepada kalangan mualaf setempat bagi menghayati bulan Ramadan dan apa jua yang berhubung kait dengan keistimewaan (Fadilat) dalam bulan yang mulia ini.

Di samping itu, ia juga dihasratkan sebagai satu metode untuk mengajak mualaf bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dan menanam minat mereka dalam pembelajaran dan pembacaan Al-Quran sekali gus dapat menerapkan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seterusnya, ia merupakan sebagai salah satu saranan dakwah kepada mualaf di negara ini, dan bagi membantu mempertingkatkan mutu bacaan mereka, seterusnya menggalakkan mereka untuk melibatkan diri mengikuti aktiviti-aktiviti berfaedah di bulan Ramadan ini, seperti menghidupkan malam-malam sepanjang bulan Ramadan di setiap masjid, surau, balai ibadat dan pos dakwah serta rumah kegiatan agama.

Majlis telah dimulakan dengan acara bertadarus, kemudian bersungkai dan seterusnya solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat Tarawih dan Witir.

ARTIKEL YANG SAMA