Majlis tadarus KHEU di Masjid Kg Telisai

Majlis tadarus KHEU di Masjid Kg Telisai

TUTONG, 29 Jun – Dalam sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat ini, rombongan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, meneruskan lagi Majlis Bertadarus Al-Quran ke seluruh daerah dengan kunjungan ke Masjid Kampung Telisai, di sini.

Mengepalai rombongan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid, juga selaku tetamu kehormat majlis.

Turut serta dalam rombongan tersebut ialah para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Menurut kenyataan KHEU, aktiviti keagamaan tahunan ini adalah sebagai salah satu syiar untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini dan dalam sama-sama mendekatkan diri dengan Al-Quran serta meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan.

Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian dengan para jemaah masjid dan penduduk kampung sekitarnya.

Haji Harun mengepalai rombongan bertadarus KHEU ke Masjid Kampung Telisai, kelmarin.
Haji Harun mengepalai rombongan bertadarus KHEU ke Masjid Kampung Telisai, kelmarin.

Majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, sebelum acara Tadarus Al-Quran 30 Juzuk dimulakan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa arwah, diikuti dengan tazkirah.

Acara diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan wakaf warga KHEU berupa jet air serta beberapa buah buku terbitan Pusat Dakwah Islamiah yang disampaikan oleh Haji Harun kepada Masjid Kampung Telisai, Daerah Tutong.

Rombongan Bertadarus Al-Quran KHEU seterusnya akan diadakan pada 7 Julai ini di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

ARTIKEL YANG SAMA