Majlis Wanita sokong strategi ‘Celik Kewangan’

Majlis Wanita sokong strategi ‘Celik Kewangan’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) menyokong strategi “Celik Kewangan” sebagai usaha mengurangkan risiko hutang dan kemiskinan di negara ini.

MWNBD sebagai salah sebuah agensi pelaksana pelan tindakan membasmi kemiskinan di bawah Jawatankuasa Khas Kemiskinan, Keluarga dan Wanita di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, akan terus menyahut aspirasi mengenal pasti cara efektif untuk menangani isu kemiskinan dan menggalakkan ekonomi di negara ini.

Ini dinyatakan oleh Naib Yang Dipertua I MWNBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali ketika bercakap pada sidang media di Hotel Park View, Jerudong.

Turut hadir barisan ahli jawatankuasa bengkel antaranya Hajah Noralam Sahari, Dayang Normah binti Jurulaki Haji Mohsin, Dayangku Uurul Aqilah binti Pengiran Masuni dan Dayang Norain binti Haji Yusuf.

Menurut Datin Hajah Masni, MWNBD akan mengadakan Bengkel “Celik Kewangan/Celik Kewangan Islam” pada 5 Jun 2015 ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke 30, MWBN dan sekali gus menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keluarga Tahun 2015.

Datin Hajah Masni (tengah) ketika bercakap pada sidang media mengenai Bengkel Celik Kewangan kelmarin
Datin Hajah Masni (tengah) ketika bercakap pada sidang media mengenai Bengkel Celik Kewangan kelmarin

Beliau berkata, sebagai masyarakat yang bersikap menyeluruh dalam perihal kewangan, kita perlu memainkan peranan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan terutama dalam menjana pekerjaan.

“Selain itu kita juga perlu mempersiapkan diri melalui amalan menabung untuk keperluan pendidikan anak-anak di masa hadapan, insurans dan peningkatan kualiti hidup” ujarnya lagi.

Datin Hajah Masni berkata, melihat kepada perkembangan inilah MWNBD dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan mengadakan bengkel yang dihasratkan akan memberikan pengetahuan asas kepada pengurusan kewangan, simpanan dan penjimatan sebagai satu pelaburan penting.

Dalam bengkel itu nanti, peserta akan didedahkan kepada pengurusan kewangan termasuk menerap tabiat berbelanja secara berhemat dan juga pengetahuan kepada perlindungan keluarga serta mengetahui aset melalui perancangan takaful.

“Kita cuba membantu warga negara ini untuk mengelak daripada terjerumus dengan skim cepat kaya terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai wang simpanan kerana ia berbahaya dan tidak terlindung daripada aspek undang-undang” ujar beliau.

Menurutnya, pada bengkel itu peserta juga akan diberikan pengetahuan mengenai konsep kewangan silam dan pelaburan serta produk yang berasaskan syariah termasuk perihal zakat harta, pengiraan zakat, sumbangan wakaf atau sedekah dan faraid.

“Terma teknikal dalam kewangan silam perlu diperjelaskan dan difahami supaya tidak menyeleweng dan kita juga perlu sedar bahawa berbelanja rezeki Allah secara bijak, tidak membazir adalah suatu tuntutan,” tegasnya lagi.

Bengkel ini juga merupakan inisiatif meningkatkan pengetahuan perancangan kewangan supaya para peserta akan dapat mengatasi gejala berhutang sekeliling pinggang, belanja berlebihan, faham akan perbezaan keperluan dan kehendak dan mengerti akan konsep pinjaman dan kredit.

“Peserta akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A bagi golongan dewasa, Kategori B bagi belia dan remaja dan Kategori C bagi kanak-kanak yang berusia di antara 8 hingga 12 tahun.

Pendaftaran bagi menyertai bengkel ini akan ditutup pada 3 Jun 2015 ini dan bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel itu bolehlah menghantarkan maklumat peribadi kepada Hajah Noralam Sahari di alamat E-melnya hjhnoralam6465@gmail.com.

Majlis akan bermula jam 8 pagi, 5 Jun 2015 di Hotel Park View, Jerudong, melibatkan beberapa Institusi Kewangan seperti BIBD, Univerisiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Tabung Amanah Pekerja.

ARTIKEL YANG SAMA