Maju bersama Insan Rabbani

Maju bersama Insan Rabbani

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Kementerian Pembangunan, hari ini, telah mengadakan majlis ceramah keagamaan bertajuk ‘Antara Insan Ramadan dan Insan Rabbani’ yang dihadiri oleh lebih 200 pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Marzuke bin Haji Mohsin.

Ceramah telah disampaikan oleh ahli-ahli panel undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Yusof bin Haji Abdul Majid, dan Dr. Lily Suzana binti Haji Shamsu dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), manakala Haji Abdul Rashid bin Haji Awang Damit selaku pengerusi.

Dalam ceramah itu, ahli-ahli panel mengungkit mengenai Rabbani yang bererti mereka yang mengajarkan Al-Kitab iaitu orang yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata\ʼala melalui jalan yang benar, jalan yang datang daripada Allah SWT melalui Al-Quran dan Sunnah. Mereka juga orang yang mencari cara untuk mendidik manusia.

Yang Berhormat Pehin bersama warga Kementerian Pembangunan, hadir di majlis ceramah keagamaan tersebut.
Yang Berhormat Pehin bersama warga Kementerian Pembangunan, hadir di majlis ceramah keagamaan tersebut.
Antara ahli-ahli panel undangan dari Pusat Dakwah Islamiah.
Antara ahli-ahli panel undangan dari Pusat Dakwah Islamiah.

“Jika ingin menjadi sebuah negara maju, ia datang daripada individu (Insan Rabbani) melalui ekonomi, pembangunan, pertahanan dan sebagainya. Insan Rabbani adalah insan yang belajar, mengajar dan sentiasa mengamalkan ilmunya yang bermaksud seseorang individu cemerlang yang suka mengajar orang demi kebaikan dan pembangunan,” ujar Awang Mohd Yusof.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Mohd Yusof dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA