Makan malam bersama pelajar biasiswa

Makan malam bersama pelajar biasiswa

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Lapan pelajar biasiswa di bawah Skim Biasiswa Perkhidmatan Pentadbiran Brunei Darussalam (BPPB) yang sedang bercuti, telah dijemput untuk menghadiri makan malam bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned, di Li Gong, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, malam ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di JPM, Awang Yahya bin Haji Idris, Ketua Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Awang Jaini bin Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Semasa berada di Brunei, para pelajar berkenaan mengikuti penempatan kerja sementara di JPA sebagai sebahagian daripada program pembangunan mereka.

Dua daripada pelajar berkenaan telah berjaya menamatkan kursus Ijazah Sarjana Muda, dengan seorang daripadanya mendapat kelas pertama dalam Pengurusan Pembelajaran dan Ekonomi, manakala seorang lagi mendapat kelas kedua dalam Matematik dan Sains.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab bersama lapan pelajar biasiswa di bawah BPPB pada majlis makan malam di Li Gong, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab bersama lapan pelajar biasiswa di bawah BPPB pada majlis makan malam di Li Gong, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Sementara itu, empat masih menjalankan pembelajaran Ijazah Sarjana Muda dan dua lagi baru memasuki universiti bagi ijazah Sarjana Muda.

BPPB merupakan skim biasiswa khas yang ditawarkan oleh JPM bagi menghasilkan graduan cemerlang, berdaya saing dan berketerampilan untuk kerjaya sebagai pegawai pentadbiran dalam perkhidmatan awam secara berperancangan jangka panjang.

Di bawah program ini, terdapat dua jenis skim biasiswa keluar negara ditawarkan iaitu Biasiswa Khas Peringkat ‘A’ level dan Biasiswa Khas Peringkat Ijazah Pertama.

Di samping menjalani program akademik di universiti, para penerima biasiswa ini juga akan menjalani program MAP yang ditadbir kerajaan seperti Program Semasa Penuntut, Program Selepas Menamatkan Kursus dan Program Setelah Lantikan.

ARTIKEL YANG SAMA