Makanan dan budaya Malaysia diketengahkan

Makanan dan budaya Malaysia diketengahkan

MELBOURNE, 21 Jun (Bernama) – Majlis Perniagaan Australia-Malaysia (AMBC) Victoria dan Dewan Perniagaan dan Industri Itali (ICCI) di sini, secara bersama menyokong projek menawan budaya komuniti Australia, Malaysia dan Itali melalui makanan dan fesyen.

Pameran fotografi di tiga buah negara itu akan berakhir dengan pelancaran eBook digital yang dirancang di Milan pada akhir 2016.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat baru-baru ini di sini yang dihadiri Ketua Eksekutif ICCI Luca Bottallo, ahli lembaga pengarah CavDott Silvio Pitruzzello dan Maurizio Marcocci, Presiden AMBC Victoria Joe Perri dan pengasas projek Colin Abbott.

Perri memberitahu Bernama bahawa projek kebudayaan, dikenali dengan, “Melbourne Malaysia Milan”, merupakan usaha yang hebat dan dengan sokongan dan input daripada ICCI, beliau yakin momentum akan terbina dengan amat cepat.

“Walaupun istilah ‘mampan’ difahami dengan lebih baik yang berhubung dengan alam sekitar, ia senario berbeza apabila berkaitan dengan budaya negara.

“Kita perlu memastikan bahawa kepelbagaian budaya kita tidak akan hilang pada masa depan,” katanya.

Matlamat utama projek Melbourne Malaysia Milan itu ialah menghasilkan rekod fotografi yang akan menjana lebih kesedaran, pemahaman, penghargaan dan pengiktirafan terhadap tiga budaya berbeza itu.

Luca Bottallo berkata ‘Fiber Makanan dan Fesyen’ merupakan sektor utama bagi tiga buah negara itu dan suatu yang amat baik untuk menunjukkan sejarah, kejayaan dan inovasi setiap negara dalam bidang tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA