‘Makanan’ jadi sahabat harimau

‘Makanan’ jadi sahabat harimau

MOSCOW, 10 Dis – Seekor kambing sepatutnya menjadi hidangan tengah hari seekor harimau Siberia apabila dimasukkan ke dalam tempat kurungan haiwan buas berkenaan di Taman Safari Primorsky luar bandar Vladivostok, Pasifik, baru-baru ini.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila harimau itu tidak membaham kambing berkenaan, malah kedua-dua haiwan itu menjadi kawan baik.

Pekerja di safari berkenaan berkata, harimau yang diberi nama Amur itu diberi makan kambing hidup sekali setiap dua minggu.

Katanya, Amur biasanya tidak menunggu lama apabila terus membaham kambing yang dimasukkan ke dalam tempat kurungannya itu.

“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan harimau itu.

Sejak Amur dan Timur bersahabat baik, harimau berkenaan diberi makan arnab hidup.
Sejak Amur dan Timur bersahabat baik, harimau berkenaan diberi makan arnab hidup.

“Namun, kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau, malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.

Kerana keberanian kambing itu petugas menamakannya Timur.

Persahabatan kambing dengan harimau itu semakin erat dan kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama serta bermain salji pada hujung minggu ini.

“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.

“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal sendirian sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.

Kisah persahabatan luar biasa itu telah menyentuh ramai hati di Rusia dengan taman safari akan menyiarkan kemas kini mengenai pasangan itu dan merancang untuk memasang kamera web dalam kandang mereka.

Ketua zoo, Dmitry Mezentsev, yang mengkaji mengenai harimau dan harimau bintang, menggambarkan persahabatan itu sebagai sesuatu yang amat ajaib.

“Mungkin ini petunjuk daripada atas,” kata Mezentsev memberitahu AFP hari ini.

“Manusia, cuba lihat pada diri anda. Berlaku perang di sana-sini – Ukraine, Syria. Haiwan berlainan seperti ini lagikan boleh hidup bersama dalam keadaan aman.” – Agensi/AFP

ARTIKEL YANG SAMA