Makanan tambahan AS punca gagal doping – Sazali

Makanan tambahan AS punca gagal doping – Sazali

KUALA LUMPUR, 8 Jan (BH) – Mr Universe 10 kali, Sazali Samad yang sedang menjalani penggantungan daripada sukan bina badan, mendakwa mengambil beberapa makanan tambahan yang di beli di Amerika Syarikat (AS) sebagai punca dia gagal ujian doping.

Sambil mengakui tidak mengetahui akan kewujudan bahan terlarang pada makanan itu, dia berkata membelinya selepas menyertai temasya Sukan Polis dan Bomba Sedunia di Fairfax, Washington pada Jun tahun lalu.

Katanya, dia membeli makanan itu di sebuah kedai menjual makanan tambahan untuk bina badan.

“Memandangkan negara itu amat maju dan hebat dengan ubat baharu serta moden yang tidak terdapat di Malaysia, saya tertarik untuk membeli makanan tambahan itu buat kegunaan kecergasan otot dan sendi kerana umur semakin meningkat.

“Saya menggunakan makanan tambahan itu untuk anggaran sebulan mengikut arahan penggunaan.

“Saya mengakui cuai dan tidak meminta serta mendapatkan nasihat pakar nutrisi tentang ubatan dan makanan tambahan diambil,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Sazali, 49, menyerahkan surat rayuan penggantungannya selama empat tahun akibat kesalahan doping yang dikenakan oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) di situ.

Surat itu diterima oleh Setiausaha Kehormat MBBF, Kamaruzaman Kadir.

Hadir mengiringinya adalah isteri merangkap pengurus dan pembantu peribadinya, Hashrine Hashim. Turut bersama kira-kira 10 ahli Kelab Penyokong Sazali.

Pada 21 Disember lalu, Sazali digantung oleh MBBF selepas gagal ujian doping pada 1 September. Hukuman itu berkuat kuasa pada 22 September iaitu pada tarikh keputusan ujian berkenaan diumumkan.

Dalam pada itu mengenai surat rayuan kepada MBBF, Sazali berkata dia mengemukakan lima asas dan panduan bagi pertimbangan daripada jawatankuasa rayuan.

ARTIKEL YANG SAMA