Makanan tempatan pacu sektor pelancongan Labuan

Makanan tempatan pacu sektor pelancongan Labuan

LABUAN, 9 Mei (Bernama) – Promosi makanan tradisional boleh menjadi platform penting dalam menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke Labuan.

Pembantu Muzium Kanan Muzium Labuan Azmi Dulang berkata industri pelancongan Malaysia berkembang pesat bukan hanya disebabkan keindahan gunung-ganang dan alam semula jadinya, sebaliknya pengunjung juga berminat dengan kepelbagaian serta keunikan makanan tempatan.

Ketika ditemui Bernama semasa promosi dan pameran makanan tradisional Labuan di sini hari ini, beliau berkata Labuan perlu mempromosi kekuatannya dan mewujudkan identitinya sendiri.

Ini, katanya, boleh dilakukan dengan mempromosi secara agresif dan mendokumentasi makanan tradisional di pulau bebas cukai ini untuk membantu merancakkan industri pelancongannya.

Azmi Dulang (tengah) bersama kakitangannya, menunjukkan sebahagian daripada makanan tempatan yang dipromosikan di pameran Makanan Tradisional Labuan. – Bernama
Azmi Dulang (tengah) bersama kakitangannya, menunjukkan sebahagian daripada makanan tempatan yang dipromosikan di pameran Makanan Tradisional Labuan. – Bernama

“Pengunjung tidak akan tahu tentang makanan atau tempat menarik di pulau ini sekiranya usaha promosi tidak mencukupi,” kata Arzmi.

Pameran makanan tradisional itu dianjurkan Muzium Labuan dari 3 Mei hingga 30 Jun, mengetengahkan makanan utama Labuan termasuk Kelupis, Ambuyat, Kuih Punjung, Jelurut, Kuih Cin Cin, Kuih Ardam, Kuih Lamban dan Rempeyek.