Makin ramai kena saman

Makin ramai kena saman

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

MIRI, 16 Okt – Makin ramai pemandu kereta berpendaftaran Brunei hari ini dikenakan saman dalam operasi sekatan jalan raya besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan lalu lintas di Miri dan Limbang.

Dalam operasi kelmarin, hampir 1,800 kereta Brunei telah diperiksa dan daripada jumlah itu, hampir 1,700 sudah pun melunaskan bayaran saman yang dikenakan ke atas kenderaan dikenalpasti melakukan kesalahan lalu lintas seperti memandu melebih had laju, kesalahan meletak kereta dan lain-lainnya, melalui alat rakaman Automated Vehichle Plate Recognition (AVPR) yang dipasang di beberapa jalan tertentu seperti Lebuh raya Baram menuju ke Bandaraya Miri.

Sementara itu, hari ini dianggarkan jumlah tersebut meningkat memandangkan kunjungan pergi balik ke Miri lebih tinggi pada hujung minggu berbanding hari biasa.

Dalam tinjauan wartawan Media Permata ke kawasan operasi hari ini, masih ramai yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan kenderaan dan perlu membayar saman, melahirkan rasa kurang senang ke atas peraturan yang dilaksanakan itu.

Menurut mereka, peraturan saman serta merta kerana AVPR itu belum diketahui ramai dan tidak pernah diperkenalkan oleh pihak berkenaan dari negara jiran kepada pengunjung asing dari Negara Brunei Darussalam ke Miri selama ini.

Kereta bernombor pendaftaran Brunei, yang ditahan dan diperiksa di Tol ASEAN, Miri, dan menjelaskan pembayaran saman semakin meningkat hari ini.
Kereta bernombor pendaftaran Brunei, yang ditahan dan diperiksa di Tol ASEAN, Miri, dan menjelaskan pembayaran saman semakin meningkat hari ini.

“Mungkin lebih baik diletakkan papan-papan tanda pemberitahuan mengenai alat berkenaan atau peringatan dan sebagainya, supaya pengunjung dari negara jiran tidak merasa panik atau terperanjat kerana tiba-tiba sahaja dipaksa membayar saman dalam jumlah minimum RM100 atau lebih,” kata Dayang Suria yang terpaksa membayar RM300 selepas ditahan petang tadi.

Sementara itu, dalam respons terhadap keluhan ramai dalam kalangan pemandu yang dikenakan saman tanpa sebarang notis pemberitahuan atau surat saman, Superitenden Zulkefly Yahya memberitahu Media Permata, kenderaan berdaftar di Brunei akan dimaklumkan mengenai kesalahan saman mereka menggunakan pos sebaik sahaja Permit Masuk Kenderaan (VEP) mula diperkenalkan sedikit masa lagi.

Menurutnya, tanpa VEP, PDRM tidak dapat memaklumkan samada secara mengirim surat atau melalui e-mel, bagaimanapun, kelonggaran telah diberikan, walaupun bermula awal Mac 2011, jumlah kompaun berasaskan prinsip ‘lebih lama ditangguh lebih bertambah bayaran’ ianya dikecualikan bagi kereta bernombor pendaftaran asing.

“Ia tidak adil jika kita menegakkan prinsip tersebut pada masa ini, kerana ada yang tidak menyedari saman mereka telah terkumpul, bagaimanapun PDRM menggalakkan pengguna jalan raya dari Brunei untuk mendaftar di sesawang www.myeg.com.my untuk melihat status kenderaan mereka,” ujarnya.

Sistem VEP merupakan projek rintis Jabatan Pengangkuan Jalan (JPJ) untuk pendaftaran, pemilik atau wakil yang dilantik oleh pemilik kenderaan asing yang berdaftar perlu menyediakan maklumat termasuk butiran pendaftaran peribadi dan kereta mereka, dan ianya telah diperkenalkan di kawasan Malaysia Barat di pos imigresen Johor yang bersempadan dengan Singapura.

Pendaftaran itu melibatkan kenderaaan milik individu, syarikat atau kegunaan peribadi, perdagangan dan VIP atau Diplomat (kenderaan yang dimiliki oleh kerajaan, atau kedutaan dan sebagainya). Permit itu diperkenalkan oleh JPJ secara berfasa pada 12 pintu masuk Malaysia dengan Brunei serta Indonesia dalam fasa ketiga.

Melalui sistem VEP, ia akan memudahkan polis lalu lintas mengesan denda jalan yang belum dibayar dicatatkan oleh kenderaan berdaftar dan bagi yang tidak membayar denda atas kesalahan tertentu mungkin tidak dibenarkan untuk meninggalkan atau memasuki Malaysia melainkan jika bayaran dibuat.

Superintendan Zulkefly juga menjelaskan pengenalan VEP itu nanti akan disertai dengan pemasangan Sistem AVPR di semua pos kawalan, yang boleh mengimbas semua lesen plat kenderaan dan rujukan silang mereka dengan pangkalan data saman PDRM, AVPR pada dasarnya pengimbas, yang akan turut membolehkan polis dan pihak berkuasa yang ditempatkan di sempadan mengenalpasti kereta yang digunakan penjenayah atau dicuri.

Selain itu, VEP berbeza dengan pas kenderaan yang sedia ada dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, satu-satunya dokumen yang diperlukan untuk kenderaan Brunei untuk menyeberangi sempadan.