Maklum balas masyarakat adalah penting

Maklum balas masyarakat adalah penting

KUCHING, 27 Mei – Polis sentiasa mengharapkan maklum balas daripada masyarakat dalam memastikan tugas yang dilaksanakan anggotanya berkesan, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor.

“Andai kata ada rintihan, rungutan dan sebagainya, silalah berhubung dengan pegawai-pegawai saya. Kalau di Daerah, kita ada Ketua Polis Daerah yang juga wakil saya untuk berinteraksi, kadang-kadang bila laporan polis dibuat pasti masyarakat nak tahu apa yang berlaku dengan laporan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Bekas Penolong Pengarah JPJKK (Pendataan) Bukit Aman SAC Che Yussof Che Ngah dilantik sebagai Ketua JPJKK IPK Sarawak menggantikan pemangku SAC Gan Tian Kee yang bertukar sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak.

Sementara itu, Che Yussof berkata JPJKK akan terus memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti dan berharap masyarakat bersama-sama polis menjayakan hasrat tersebut.

Datuk Mazlan Mansor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah-terima tugas antara ACP Wan Shamsuddin Wan Hussin (kiri) dengan SAC Che Yussof Che Ngah di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di Kuching, kelmarin. – Bernama
Datuk Mazlan Mansor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah-terima tugas antara ACP Wan Shamsuddin Wan Hussin (kiri) dengan SAC Che Yussof Che Ngah di Mes Pegawai Kanan Polis Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di Kuching, kelmarin. – Bernama

“Masyarakat sebenarnya mempunyai kuasa-kuasa kepolisan … kuasa untuk melakukan tangkapan terutama bagi kes-kes yang berlaku di hadapan mata seperti kes ragut dan kes curi yang tidak disenangi masyarakat.

“Apabila tangkapan dibuat terus diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut…ini yang diharapkan,” katanya.

Che Yussuf berkata selain itu polis mengharapkan kerjasama daripada masyarakat supaya menyalurkan apa sahaja masalah setempat untuk agar dapat ditangani polis.

“Kalaulah masyarakat dapat beri kerjasama, kita akan gerakan elemen pencegahan supaya masyarakat rasa selamat,” katanya. – Bernama