Maklumat ribut akan landa Brunei tidak berasas – BDMD

Maklumat ribut akan landa Brunei tidak berasas – BDMD

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) menjelaskan, maklumat yang disebarkan melalui media sosial WhatsApp yang menyatakan bahawa ribut akan melanda Negara Brunei Darussalam adalah tidak berasas.

Pemangku Pengarah Kajicuaca, BDMD, Awang Muhamad Husaini bin Aji dalam satu kenyataan hari ini berkata, Brunei akan mengalami keadaan cuaca yang pada amnya baik dengan jumlah liputan awan yang berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, katanya, seperti yang sering berlaku di kawasan tropika, aktiviti hujan berpetir atau ribut petir masih berpotensi berlaku.

“Untuk beberapa hari mendatang ini, aktiviti hujan berpetir berkemungkinan berlaku di kawasan perairan dan pesisiran negara pada waktu awal pagi dan malam; dan di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

“Aktiviti-aktiviti ini biasanya terjadi dalam tempoh masa yang singkat dan boleh menjadi lebat setempat di beberapa kawasan. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 kmsj di kawasan yang dilanda hujan lebat,” katanya sambil menambah bahawa pihak BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca jika situasi memerlukan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan melalui media-media sosial yang mana boleh menyebabkan keadaan panik dan resah kepada orang ramai.

“Kami ingin menasihati orang ramai supaya dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kaji Cuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.’

ARTIKEL YANG SAMA