Maklumat tidak lengkap punca bantuan JKM lewat diterima

Maklumat tidak lengkap punca bantuan JKM lewat diterima

MIRI, 28 Jun (Bernama) – Maklumat tidak lengkap antara punca bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lewat disalurkan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata segala permohonan bantuan akan diputuskan dalam tempoh sebulan selepas permohonan dihantar ke pejabat JKM berdekatan.

“Bagaimanapun masalah yang sering dihadapi untuk mempercepatkan proses permohonan ialah maklumat tidak lengkap, menyebabkan pemohon gagal dihubungi.

“Pemohon yang berjaya ada yang tidak memberi maklumat lengkap, berpindah atau bertukar alamat, tidak menyertakan nombor telefon untuk dihubungi dan tidak membuka akaun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan kes tertunggak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir Miri.