Makmal Anti-Doping China digantung

Makmal Anti-Doping China digantung

BEIJING, 22 April – Makmal Kebangsaan Anti-Doping China gagal untuk mengesahkan dua sampel positif dalam satu ujian Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) tahun lepas, dalam pengakuannya hari ini selepas WADA menggantung pentauliahannya hanya beberapa bulan sebelum bermulanya Olimpik.

Penggantungan, bagi tempoh maksimum empat bulan itu, bermakna makmal tersebut dihalang dari menjalankan ujian-ujian berkaitan dengan WADA seperti analisis darah dan air kencing. Bagaimanapun, WADA tidak menyatakan sebab-sebab bagi keputusan yang dibuat kelmarin itu.

Namun, dalam satu keterangan yang disiarkan pada laman sesawang Agensi Anti-Doping China (CHINADA), makmal itu menyatakan mereka telah melaporkan dua keputusan negatif yang tidak tepat dalam ujian WADA yang dijalankan pada Oktober tahun lepas.

“Penggantungan ini yang berkuat kuasa serta merta, menghalang makmal berkenaan daripada melakukan sebarang aktiviti anti doping berkaitan WADA, termasuk semua analisis air kencing dan sampel,” kata WADA dalam kenyataannya. Makmal Beijing mempunyai 21 hari untuk merayu keputusan itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Menurut WADA, makmal berkenaan boleh merayu terhadap penggantungan itu sebelum tindakan empat bulan dan perlu mengikut lima langkah pemulihan digariskan Jawatankuasa Disiplin dan menyelesaikan “bukan-pematuhan.”

Seorang wanita memasuki bangunan Makmal Kebangsaan Anti-Doping China. – AFP
Seorang wanita memasuki bangunan Makmal Kebangsaan Anti-Doping China. – AFP

“Makmal Beijing akan melengkapkan langkah pembetulannya dan kemudian memohon bagi pengembalian semula pentauliahan selepas pengulasan WADA,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA