Makmal spesifikasi NBOS-PILS perlu diperluas

Makmal spesifikasi NBOS-PILS perlu diperluas

TAWAU, 4 Mac (Bernama) – Pembinaan konsep makmal spesifikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan-Program Inisiatif Libat Sama (NBOS-PILS) perlu diperluas ke semua sekolah sebagai langkah transformasi dalam pendidikan yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata konsep berkenaan dilihat mampu membantu meningkatkan prestasi pelajaran murid melalui pengajaran dan pembelajaran guru yang berkesan.

“Saya juga akan berusaha untuk memperluaskan konsep pembinaan makmal ini dan apa-apa projek yang memberi impak yang besar kepada rakyat Tawau seterusnya memberi impak positif dari segi ekonomi,” katanya.

Datuk Mary Yap Kain Ching merasmikan Makmal Sains Spesifikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan-Program Inisiatif Libat Sama (NBOS-PILS) di SMK Wakuba hari ini. – Bernama
Datuk Mary Yap Kain Ching merasmikan Makmal Sains Spesifikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan-Program Inisiatif Libat Sama (NBOS-PILS) di SMK Wakuba hari ini. – Bernama

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Makmal Sains Spesifikasi NBOS-PILS dan Pelancaran Buku Panduan Kesedaran Menghadapi Gempa Bumi di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba di sini, Jumaat.

Katanya NBOS-PILS dilaksanakan mulai 2014 membabitkan perbelanjaan sebanyak RM150,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi melibatkan empat buah sekolah di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Mulai tahun ini, Yap berkata kementerian bersetuju menyiapkan lima lagi makmal iaitu empat buah makmal di Besut, Terengganu dan satu di Tawau iaitu SMK Wakuba yang menjadi projek perintis di Sabah.

“Makmal serba canggih ini mempunyai ciri modular berkonsep ‘classroom-lab-classroom’,” katanya.