Makmurkan bumi Brunei Darussalam

Makmurkan bumi Brunei Darussalam

Mukadimah: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi wawancara bertulis bersama Media Permata bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70. Berikut ialah petikan penuh warkah wawancara eksklusif tersebut:

Media Permata: Sepanjang pemerintahan Kebawah Duli Tuan Patik yang hampir 50 tahun, Negara Brunei Darussalam telah mencapai banyak kemajuan dan perubahan, malah profil Brunei sendiri begitu tinggi di mata dunia. Bagaimana Kebawah Duli Tuan Patik melihat pencapaian ini secara keseluruhannya?

Baginda Sultan: Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala jua yang telah memberkati dan merahmati Negara Brunei Darussalam ini dengan keamanan dan kestabilan, dengan rakyat dan penduduknya hidup dalam harmoni dan saling hormat-menghormati sepanjang pemerintah Beta.

Ini adalah hasil daripada kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan Beta. Beta berharap nilai-nilai murni ini akan berterusan.

Alhamdulillah, kesemua perkara tersebut telah membolehkan kemajuan-kemajuan dan pembangunan yang komprehensif telah dapat diraih dari dahulu sampailah sekarang ini. Kemajuan-kemajuan yang dimaksudkan tidak terhad kepada penyediaan infrastruktur-infrastruktur moden. Lebih penting adalah perkembangan dan kemajuan rakyat dan penduduknya khususnya dalam bidang pendidikan.

Gambar fail KDYMM Baginda Sultan. – Gambar Azrol Azmi
Gambar fail KDYMM Baginda Sultan. – Gambar Azrol Azmi

Bertolak dari pandangan jauh Paduka Ayahanda Beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, negara ini telah melaksanakan dasar pendidikan seimbang dengan memberikan penekanan kepada pendidikan agama Islam di samping memajukan pendidikan biasa. Dasar ini telah berjaya melahirkan cerdik pandai tempatan yang berkualiti.

Alhamdulillah, sekarang, sudah terdapat ramai cendekiawan yang berkelulusan tinggi dan terbaik. Negara Brunei Darussalam mampu melahirkan anak bangsa yang berkaliber yang diadun dengan nilai teras kita berpaksikan kepada konsep Melayu Islam Beraja, nilai warisan Negara Brunei Darussalam sejak turun temurun.

Beta percaya, melalui modal insan yang berkualiti, Negara Brunei Darussalam akan terus menerus berjaya menempa kemajuan demi kemajuan di masa-masa akan datang, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa, dengan tidak melupakan jati diri Kebruneian yang ada dalam diri untuk terus dipertahankan sampai bila-bila, di mana pun kita berada.

Media Permata: Apakah pencapaian Negara Brunei Darussalam yang paling membanggakan Kebawah Duli Tuan Patik?

Baginda Sultan: Pada hemat Beta, tiadalah pencapaian yang lebih besar selain daripada mencapai kemerdekaan, mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara yang disertai dengan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan. Inilah yang selalu Beta harapkan akan sentiasa berterusan.

Justeru, usaha-usaha dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, peningkatan penghayatan agama Islam sebagai agama rasmi, pembangunan ekonomi negara, mengembangkan pelaksanaan projek-projek kebajikan dalam negeri dan mengukuhkan hubungan Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara luar perlu diperlipatgandakan.

Alhamdulillah, dengan ketenteraman dan kestabilan ini kita telah dapat menumpukan usaha ke arah membangun negara secara seimbang dan inklusif yang terbukti berjaya meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Sebagai contoh, dasar kerajaan yang memastikan sistem pendidikan yang teratur dan terbuka kepada orang ramai telah membantu rakyat dalam membuat persediaan bagi mencari pekerjaan dan mencapai kejayaan dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan (knowledged based) dan berdaya saing.

Beta juga gembira sistem pendidikan ini telah memberi ruang kepada kaum wanita untuk mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Semogalah Allah Subhanahu Wata’ala akan sentiasa mengurniakan limpahan rahmat dan anugerah bernegara khususnya bagi kehidupan semua lapisan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Media Permata: Ramai orang termasuk dari dalam dan luar negara melihat dan kagum dengan kemakmuran negara dan rakyat Brunei yang dicapai dalam masa relatif singkat, berkat kepimpinan adil dan bijaksana Kebawah Duli Tuan Patik. Apakah cabaran terbesar yang terpaksa Kebawah Duli Tuan Patik hadapi sepanjang memerintah negara?

Baginda Sultan: Dalam mengharungi arus globalisasi, sememang kita tidak dapat lari dari cabaran-cabaran termasuk yang boleh menggugat ketenteraman negara. Anasir-anasir dan jua petualang-petualang yang tidak diingini boleh saja menjelma bagi mencuba mengganggu keamanan dan ketenteraman negara. Begitu juga halnya dengan Negara Brunei Darussalam.

Dalam hal ini, Beta berharap dan menyeru sekalian rakyat untuk sentiasa bersatu padu, bersedia dan mempersiapkan diri dengan jati diri yang kukuh berlandaskan kepada agama kita, agama Islam dengan menjaga nilai-nilai kita selaku rakyat Brunei, Melayu Islam Beraja (MIB), yang mesti kita sentiasa pertahankan.

Oleh itu, kerajaan Beta sentiasa peka dan sedaya upaya akan memastikan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa berpegang teguh kepada inti pati keBruneian yang kita ada berlandaskan kepada agama Islam. Jangan mudah terikut-ikut kepada budaya dan amalan-amalan kehidupan yang tidak elok.

Kerajaan Beta akan juga memastikan hal ehwal kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa terpelihara.

Dalam pada itu, Beta berharap, rakyat dan penduduk di negara ini akan terus menerus terlibat dan sama-sama berusaha dalam memangkin ekonomi negara bagi memastikan kehidupan generasi kita yang akan datang akan kekal terjamin.

Media Permata: Ramai yang mengagumi penampilan Kebawah Duli Tuan Patik yang sentiasa segak, sihat dan cergas, apakah rahsianya?

Baginda Sultan: Syukur Alhamdulillah, Beta cuba mengamalkan cara hidup yang aktif dan sihat. Beta suka bersenam, bermain badminton dan berbasikal. Jika masa mengizinkan, Beta juga suka bermain polo.

Media Permata: Apakah makanan kegemaran Kebawah Duli Tuan Patik?

Baginda Sultan: Beta suka pelbagai jenis makanan tetapi yang paling digemari adalah masakan tempatan. Penting bagi kita untuk memastikan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Media Permata: Apakah perspektif Kebawah Duli Tuan Patik terhadap masa depan generasi muda?

Baginda Sultan: Generasi muda hari ini merupakan aset negara dan tonggak harapan yang turut bertanggungjawab untuk menjadi agen bagi membentuk perubahan-perubahan dan susur galur kemajuan negara ini di masa akan datang. Ini adalah penting dalam keadaan dunia yang semakin berhubung rapat di mana negara-negara menjadi lebih saling bergantung antara satu sama lain.

Maka generasi muda kita perlu juga bersedia menghadapi cabaran-cabaran melalui kerjasama yang rapat dengan rakan antarabangsa kita.

Bertitik tolak dari itu, generasi muda hari ini haruslah sentiasa berfikiran positif, proaktif dan responsif ke atas persekitaran yang menjurus kepada meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan negara agar sentiasa dinamik dan progresif setanding dengan negara-negara yang telah maju membangun.

Ke arah itu, Beta amat menggalakkan belia di negara ini untuk memupuk ciri-ciri keusahawanan dan tampil ke hadapan sebagai peneraju industri-industri dan sektor perniagaan.

Walau bagaimanapun, akhlak, sikap dan sifat berbudi pekerti yang mulia, di samping semangat patriotik mestilah sentiasa disemai dalam diri mereka agar menjadikan generasi muda ini generasi yang berwawasan dan sentiasa ingin maju. Sifat yang luhur seperti jujur, sabar, amanah dan baik hati merupakan sifat terpuji yang harus dijadikan budaya agar kehidupan generasi akan datang akan kekal bersatu padu dalam suasana yang aman dan harmoni.

Generasi muda hari ini juga haruslah berani mempunyai impian yang besar, yang setentunya juga harus realistik dan mempunyai impak kepada negara. Walau bagaimanapun, dalam mengejar impian, generasi muda juga adalah digesa agar tidak lupa dan lalai terhadap
kewajipan menjaga agama dan tanggungjawab mempertahankan nilai-nilai MIB seperti menghormati keluarga dan adat resam, mengamalkan sikap persefahaman dan murah hati, dan berpendirian baik dan teguh. Kerana dengannya, ajaran Islam selaku tunjangnya, generasi kini dan akan datang akan tetap di jalan yang lurus, tidak salah.

Media Permata: Apakah hasrat dan harapan Kebawah Duli Tuan Patik kepada bangsa Brunei dan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 ini?

Baginda Sultan: Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Beta menyeru kepada sekalian rakyat dan penduduk di negara ini agar akan sentiasa bersatu padu dan kukuh dalam menanai tanggungjawab masing-masing kepada negara demi memastikan kedaulatan, keamanan dan keharmonian akan dapat dikekalkan sampai bila-bila pun.

Kedaulatan, keamanan dan keharmonian yang dikecapi oleh negara ini adalah tidak ternilai harganya. Maka usaha-usaha ke arah mengekalkannya hendaklah diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Selebihnya, kita bertawakal dan berserah kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala untuk menentukan segala-galanya.

Kita hendaklah sentiasa memohon agar dikurniakan kebaikan dan kelebihan untuk kekal menjadi negara yang ‘Baldatun Tayibatun Warabbun Ghaffur’ iaitu negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

Beta juga seterusnya berharap dalam kita mengejar kemajuan, jati diri selaku anak Brunei tidak akan dilupa serta hendaklah ianya bersandarkan kepada nilai-nilai murni Melayu Islam Beraja, khususnya agama Islam.

Semoga nilai-nilai yang dipupuk oleh konsep MIB ini akan dapat dikekal dan dipertahankan sampai bila-bila. Beta juga berharap, kita akan dapat jua akhirnya mencapai hasrat wawasan bangsa kita Wawasan Brunei 2035.

ARTIKEL YANG SAMA