Maksimumkan penggunaan teknologi maklumat

Maksimumkan penggunaan teknologi maklumat

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Jabatan Penerangan, hari ini, telah mengadakan Majlis Memperingati Penubuhannya ke-63 tahun, yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penerangan di Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, yang turut menyempurnakan pelancaran buku bergambar (Coffee Tablet Book) bertajuk “Kedamaian dan kepelbagaian Temburong”.

Dalam ucapannya di majlis itu, Haji Mohd Rozan menekankan bahawa masyarakat kini sudah terdedah dengan maklumat-maklumat yang betul atau yang ditokok tambah sehingga memberikan interpretasi yang berbeza-beza dan ia bukanlah suatu fenomena yang boleh dinafikan.

“Perkara ini menjadi cabaran besar bagi organisasi media sejagat dan Jabatan Penerangan juga tidak terkecuali kerana perkembangan teknologi maklumat ini memberikan saingan yang sengit dalam pemberigaan maklumat kepada warga masyarakat”.

Menurutnya, masyarakat mempunyai banyak sumber melalui laman sesawang atau media sosial dan hanya tinggal sama ada maklumat ini tepat atau tidak dan sememangnya sukar dikawal kerana sumber yang diterima ini akan dikitarkan semula dan diedarkan kepada pihak lain pula.

Tetamu kehormat menyaksikan pameran Jabatan Penerangan.
Tetamu kehormat menyaksikan pameran Jabatan Penerangan.

Oleh itu, ujarnya, jika Jabatan Penerangan tidak bersaing dengan memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat ini, agak sukar bagi jabatan berkenaan menarik perhatian orang ramai untuk memberigakan maklumat dalam jangka masa pendek dan panjang, sekali gus akan menggugatkan relevan dan strategik jabatan ini dalam kalangan masyarakat.

“Daya tahan dan relevannya sebuah organisasi berkait rapat dengan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan dan jabatan ini juga banyak membuat pembaharuan dan pembaikan serta pencapaian dalam melaksana tugas dan tanggungjawabnya,” tegasnya lagi.

Terdahulu majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat dan diikuti dengan laungan lagu kebangsaan dan lagu patriotik “Bendera Negara” yang dinyanyikan kumpulan Koir Jabatan Penerangan.

Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi Haji Mohammad semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya telah menyentuh mengenai pencapaian dan perkembangan serta pembangunan Jabatan Penerangan sepanjang 63 tahun penubuhannya.

Menurutnya, jabatan ini tidak kendur-kendur berusaha ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat dan menekankan bahawa dengan adanya masyarakat seperti ini, maklumat yang sahih mengenai negara dan perkembangannya akan dapat menyumbang kepada perpaduan bangsa dan kesejahteraan negara.

Di majlis itu, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan yang bersara dan melawat petak-petak pameran setiap bahagian, cawangan dan unit di jabatan berkenaan dan juga petak-petak pameran produk mukim dan kampung.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penglibatan Pusat Promosi Kesihatan yang memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan Unit Tabung Simpanan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal yang mengadakan kempen derma darah.

Aktiviti lain yang dijalankan sepanjang majlis berkenaan adalah kuiz kenegaraan, bicarawara Pelita Brunei, Pidato Penerangan dan jerayawara penerangan yang boleh disertai orang ramai yang berkunjung ke pameran berkenaan bermula hari ini hingga 21 Mei.

Majlis yang sama akan dilaratkan ke daerah-daerah lain iaitu Daerah Temburong pada 23 dan 24 Mei ini di Dewan Serba Guna Kompleks Kedai Bumiputera Pekan Temburong; Daerah Tutong pada 26 dan 27 Mei di Dewan Seri Kenangan Tutong; dan Daerah Belait pada 28 dan 30 Mei di Taman Persiaran
Kuala Belait.