Maktab Duli johan peraduan bercerita

Maktab Duli johan peraduan bercerita

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Cerita bertajuk ‘Si Kasian (Si Miskin)’ membawa tuah kepada pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong apabila persembahan mereka berjaya mencuri hati para juri dan tetamu sekali gus menjadi johan Peraduan Cerita Berkumpulan 2016 Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Selaku johan, pasukan Maktab Duli membawa pulang wang tunai berjumlah $600, manakala itu, pasukan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah yang membawakan cerita bertajuk ‘Guru Oh Guru’ menyandang gelaran naib johan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah $500 dan kumpulan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit pula berada di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai $400.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan.

Peraduan ini merupakan salah satu cabang seni teater atau drama yang boleh dianggap sebagai salah satu media komunikasi dalam memberikan maklumat yang berkesan kepada penonton.

Pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Gadong dengan tajuk ‘Si Kasian (Si Miskin)’ berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini.
Pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah Gadong dengan tajuk ‘Si Kasian (Si Miskin)’ berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini.
Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong menerima hadiah daripada tetamu kehormat apabila diumumkan sebagai naib johan.
Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong menerima hadiah daripada tetamu kehormat apabila diumumkan sebagai naib johan.

Di samping itu, ia dihasratkan untuk menyampaikan sebuah drama pendek atau sketsa dengan memasukan unsur seni tempatan seperti syair, Diangdangan, pantun, pertuturan dan sebagainya dalam menyampaikan cerita di samping seni lakonan. Peraduan ini diadakan untuk menggalakkan belia mencintai buku di samping sebagai wadah bagi belia dalam proses pencapaian tahap kebijaksanaan dan perkembangan minda untuk menjadi warga Brunei yang berwibawa.

Tema bagi peraduan pada tahun ini adalah ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ dan ia dibukakan kepada remaja warga Brunei dan penduduk tetap yang berumur 12 hingga 20 tahun dan ahli perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei yang menuntut di sekolah-sekolah menengah, maktab dan persatuan yang juga ahli kelab muda-mudi perpustakaan.

ARTIKEL YANG SAMA