Maktab Duli juara B-19 JIS

Maktab Duli juara B-19 JIS

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) memenangi pingat emas Liga Bolasepak B-19 Jerudong International School (JIS) 2015 setelah menewaskan Tabuan B16 2-1 pada perlawanan akhir petang kelmarin.

Dalam kejohanan di padang JIS, Maktab Duli mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Muhamad Arif Firdaus bin Hussin. Kedudukan menjadi 1-1 pada awal babak kedua namun Abu Suffian bin Haji Adanan memastikan kejuaraan menjadi milik Maktab Duli dengan jaringannya di akhir babak kedua.

Pemenang pingat gangsa dalam kejohanan 11-sepasukan yang telah bermula pada 16 April ialah JIS ‘A’ selepas ia berjaya menewaskan JIS ‘B’ dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 27 April lalu.

Dalam kejohanan yang disertai 11 pasukan termasuk dua pasukan dari Daerah Tutong, Maktab Duli mara ke final selepas menang 5-3 menerusi sepakan penalti ke atas JIS ‘A’ pada separuh akhir pertama pada 20 April setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar perlawanan.

Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah juara Liga Bolasepak B-19 JIS 2015.
Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah juara Liga Bolasepak B-19 JIS 2015.

Tabuan B16 pula bertemu Maktab Duli pada perlawanan akhir setelah berjaya menundukkan JIS ‘B’ dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua pada 22 April yang lalu.

Pasukan yang menyertai kejohanan ini ialah JIS ‘A’, JIS ‘B’, JIS ‘C’, Seri Mulia Sarjana School (SMSS), Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) ‘A’, Maktab Sains ‘B’, Sekolah Menengah (SM) RIPAS Tutong, SM Tanjong Maya Tutong, JIS, Maktab Duli and Tabuan B16.