Maktab Duli juara Tuturan Pelajar

Maktab Duli juara Tuturan Pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Pasukan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah memberikan hujah-hujah yang menarik, sekali gus berjaya mengutip mata tertinggi untuk dinobatkan sebagai juara Peringkat Akhir Pertandingan Tuturan Pelajar, Forum Bahasa Melayu bagi Pra-Universiti dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei 2016, yang berlangsung di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan itu ialah Pengarah RTB, Jabatan Perdana Menteri, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Dalam peringkat akhir pertandingan itu, dua pasukan beraksi iaitu Pasukan Maktab Duli dan Pasukan Pusat Tingkatan Enam Tutong di mana pertandingan mengetengahkan format forum yang terdiri daripada tiga orang ahli panel dan seorang pengerusi.

Terdahulu sebelum pertandingan dimulakan, Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan dalam ucapannya menyatakan, pertandingan itu dihasratkan untuk memantapkan penguasaan dan kemahiran berbahasa para pelajar khasnya dalam penggunaan Bahasa Melayu Baku.

“Selain itu, untuk melatih dan membina keyakinan dalam diri para pelajar untuk berucap dan mengekspresikan pemikiran dan pendapat mereka di depan khalayak ramai, dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang cerdas dari segi kebolehan mental dan berupaya untuk berfikir secara aktif, kreatif dan kritis mengenai sesuatu isu yang dikemukakan.”

Haji Muhammad Suffian menyampaikan Hadiah Panel Terbaik kepada Awangku Mohd Hazim Firdaus.
Haji Muhammad Suffian menyampaikan Hadiah Panel Terbaik kepada Awangku Mohd Hazim Firdaus.
Juara pertandingan, Pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Juara pertandingan, Pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Beliau berkata, melalui tema pertandingan yang berunsurkan sosial, jabatannya berharap supaya segala nasihat, gagasan, permasalahan dan nilai-nilai murni yang terkandung dalam tema perbincangan akan dapat diambil iktibar, perhatian dan diterapkan dalam diri para pelajar untuk bersedia dalam menghadapi cabaran pada masa depan.

“Ini kerana, para pelajar merupakan aset negara yang akan merealisasikan Wawasan Negara 2035 serta yang akan membangun negara yang tercinta ini di masa akan datang.”

Dalam pertandingan akhir itu, Pasukan Pusat Tingkatan Enam Tutong menduduki tempat kedua manakala itu, Pasukan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan Pasukan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan berkongsi tempat ketiga.

Di samping itu, Awang Muhammad Rabbani @ Muhammad Suhaib bin Ramli dari Maktab Duli dipilih sebagai Pengerusi Terbaik dan Awangku Mohd Hazim Firdaus bin Pengiran Hamdani dipilih sebagai Panel Terbaik.

Sebanyak lima buah pasukan telah menyertai peringkat saringan pertandingan itu dengan dua buah pasukan mara ke peringkat akhir di mana ahli forum terdiri daripada tiga orang ahli panel, seorang pengerusi serta dibimbing oleh dua orang guru pembimbing.

ARTIKEL YANG SAMA