Maktab Duli terima 581 pelajar baru

Maktab Duli terima 581 pelajar baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Para pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) diseru untuk sentiasa mempunyai nilai dan etika yang baik sekali gus dapat menjadikan maktab berkenaan sebagai sebuah maktab yang mempunyai pelajar berdisiplin tinggi dan menjurus kepada kemajuan diri pelajar-pelajarnya.

Seruan itu dibuat oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Kemasukan seramai 581 pelajar Pra-U 1 sesi 2016/2017 yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, Gadong, hari ini.

Pada majlis itu, beliau mengingatkan para pelajar untuk menggunakan Perancangan Pelajar (Student Planner) dengan sebaiknya dan supaya dapat merujuk serta membaca isi kandungan yang terdapat dalam buku berkenaan yang mengandungi peraturan dan maklumat-maklumat penting mengenai maktab dan menjadikan ia sebagai panduan mereka

Hajah Monaliza turut menyarankan kepada para pelajar untuk menyemai sifat bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan mereka sebagai seorang pelajar di maktab berkenaan.

“Pelajar harus bersedia menghadapi segala cabaran dengan cekal hati, tabah, tidak mudah putus asa, rajin berusaha untuk kejayaan dan memaksimumkan dan memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya.”

Hajah Monaliza ketika menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan.
Hajah Monaliza ketika menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan.
Antara para pelajar baru Maktab Duli yang berjaya melanjutkan pengajian ke maktab berkenaan.
Antara para pelajar baru Maktab Duli yang berjaya melanjutkan pengajian ke maktab berkenaan.

Mengongsi pencapaian maktab berkenaan bagi 2015, Hajah Monaliza berkata bahawa dari segi pencapaian akademik iaitu Peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ Oktober/November 2015, maktab itu telah mencapai peratus lulus yang sangat membanggakan yang mana 95 peratus pelajar telah mendapat sekurang-kurangnya 1 ‘A’ dalam peperiksaan berkenaan.

Manakala itu, mereka yang memperoleh 3 ‘A’ ke atas adalah sebanyak 67.4 peratus iaitu peningkatan sebanyak 3.6 peratus jika dibandingkan dengan keputusan 2014.

“Ini bermakna seramai 95 peratus pelajar yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian tinggi dalam dan luar negeri bagi melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah pertama.”

Beliau menambah, “Pencapaian dalam kegiatan CCA pula, maktab ini telah meraih 94 peratus kemenangan dalam pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan dan negara yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta tahun lepas.”

Pada majlis itu, seramai 581 pelajar baru Maktab Duli iaitu 250 pelajar lelaki dan 331 pelajar perempuan akan memulakan pengajian mereka di maktab berprestij itu bagi tahun akademik 2016/2017.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 37 orang akan menetap di asrama maktab berkenaan.

Pelajar-pelajar baru maktab itu akan melalui program orientasi selama empat hari yang mana mereka akan diberikan pendedahan, penerangan dan peluang untuk membiasakan diri mereka belajar serta menikmati interaksi sosial dan kehidupan akademik di maktab tingkatan enam itu.

Sebagai sebahagian daripada program orientasi mereka, para pelajar baru akan dibawa melawat maktab serta diberikan taklimat mengenai unit-unit dan bahagian-bahagian maktab berkenaan serta sumber-sumber dan perkhidmatan yang disediakan bagi kemudahan mereka.

Melalui program orientasi itu, para pelajar baru berkenaan juga diharap dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan kaedah terbaik untuk mencapai misi dan visi maktab.

ARTIKEL YANG SAMA