Maktab Sains catat rekod kemasukan tertinggi Tahun 7

Maktab Sains catat rekod kemasukan tertinggi Tahun 7

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) tahun ini merekodkan kemasukan pelajar Tahun 7 tertinggi yang di luar jangkaan iaitu hampir 400 orang pelajar yang akan memulakan pembelajaran sesi akademik tahun 2016.

Para pelajar berkenaan akan ditempatkan di 18 buah kelas bermula dari kelas 7A hingga 7R mengikut pilihan mata pelajaran masing-masing, ujar Pemangku Pengetua MSPSBS, Hajah Hashimawati binti Haji Mohamad semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Kemasukan Pelajar Tahun 7, 2016, di Dewan Auditorium MSPSBS, Berakas.

“Pelajar akan mengikut program pendidikan menengah ‘General’ selama empat tahun dalam Sistem Pendidikan Abad ke-21. Pelajar akan menduduki peperiksaan SPE bagi penuntut Tahun 8 pada penghujung tahun 2017. Pembelajaran menengah bawah dipendekkan kepada dua tahun, manakala pembelajaran menengah atas masih dikekalkan kepada dua tahun,” jelas beliau lagi kepada para pelajar baru berkenaan dan ibu bapa serta penjaga masing-masing.

Hajah Hashimahwati juga menasihatkan kepada para ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka agar hadir ke sekolah setiap hari, kerana kehadiran pelajar kurang daripada 85 peratus akan menyebabkan pelajar ditahan kelas pada sesi akademik tahun berikutnya.

Ini katanya bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen ke-26 Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang antara lain menekankan supaya ibu bapa dan penjaga memberi perhatian terhadap kedatangan anak-anak mereka ke sekolah bagi mencapai impian dan hasrat negara bagi melihat lahirnya generasi yang cemerlang.

Pemangku pengetua ketika memberikan ucapan pada majlis tersebut.
Pemangku pengetua ketika memberikan ucapan pada majlis tersebut.
Sebahagian daripada pelajar yang diterima masuk ke maktab berkenaan.
Sebahagian daripada pelajar yang diterima masuk ke maktab berkenaan.

Justeru itu, pihak maktab meminta kerjasama ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau dan memastikan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah agar mereka tidak tercicir dan ketinggaan dan dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna.

Perkara ini perlu diambil perhatian, lebih-lebih lagi semua pelajar maktab berkenaan dikehendaki menjalani program pendidikan menengah ‘General’ empat tahun yang memerlukan penumpuan dan komitmen berterusan ke arah mencapai kecemerlangan dalam semua aspek terutama dalam bidang akademik, tambah beliau.

Pada majlis berkenaan, para ibu bapa dan penjaga serta para pelajar juga mendengar taklimat mengenai kemudahan yang disediakan seperti asrama, kenderaan dan elaun yang boleh dipilih oleh para pelajar dengan mengikut syarat-syarat tertentu.

Para pelajar baru ketika melafazkan ikrar.
Para pelajar baru ketika melafazkan ikrar.
Para ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis tersebut.
Para ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis tersebut.

Penyalahgunaan terhadap permohonan kemudahan tersebut juga ditekankan, berikutan pihak maktab telah mendapati beberapa kes berkaitan perkara tersebut, umpamanya menggunakan alamat lain selain daripada alamat asal untuk mendapatkan elaun. Pihak sekolah juga berharap perkara berkenaan tidak akan berulang lagi agar tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Seperti lazimnya, para pelajar akan menjalani sesi suai kenal selama empat hari persekolahan yang bermula pada hari ini, dan salah satu program suai kenal yang akan dilaksanakan ialah ‘Program Satu Hari’. Program ini bertujuan untuk mencungkil, menilai bakat dan meningkatkan tahap keyakinan dan daya tahan diri para pelajar kepada kehendak-kehendak dan situasi yang bakal dihadapi.

Dalam pada itu, Hajah Hashimawati menyeru para ibu bapa dan penjaga untuk memberikan sokongan padu kepada pihak maktab demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan anak-anak mereka.

“Kejayaan para pelajar di peringkat PSR merupakan titik permulaan untuk mencapai kecemerlangan masa hadapan dan pencapaian cemerlang ini masih belum cukup untuk dijadikan sebagai sukat-sukat bagi mencapai kecemerlangan di peringkat tinggi. Dari sinilah pentingnya peranan, sokongan, dorongan dan sikap bertanggungjawab ibu bapa dan penjaga dalam memantau pembelajaran anak-anak mereka,” tambah beliau.

Majlis berkenaan diteruskan dengan Ikrar Penuntut dan taklimat pengenalan SPE Tahun 7, 2016 yang disampaikan oleh Hajah Adinawati binti Haji Sarwadi, sementara itu, taklimat persatuan ibu bapa dan guru pula disampaikan oleh Pengerusi PIBG MSPSBS, Hajah Zaiton binti Haji Damit.

ARTIKEL YANG SAMA