Maktab Tenter...

Maktab Tentera Laut Diraja Britannia

Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad

 

PADA setiap 14 Jun, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) akan meraikan hari ulang tahun mereka. Ia adalah satu tarikh yang sangat istimewa bagi TLDB di mana pada 14 Jun baru-baru ini, ia telah meraikan hari ulang tahunnya yang ke-52 tahun.

Jadi sama-samalah kita memanjatkan doa agar seluruh TLDB kita sentiasa mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala dalam menjalankan tugas-tugas mereka, khususnya semasa berada di samudera biru.

Bersempena dengan Hari Ulang Tahun TLDB ini, penulis teringat dan terkenang akan pengalaman semasa menjalani latihan Pegawai Tentera Laut di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, Dartmouth, England, kira-kira 45 tahun yang lalu.

Penulis juga teringat akan lawatan bersejarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Maktab Tentera Laut Diraja Britannia hampir 16 tahun yang lalu.

Dengan takdir Allah Subhanahu Wata’ala, Negara Brunei Darussalam khususnya bagi TLDB telah mencatat satu sejarah yang melibatkan dua buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar dihadapan Bangunan Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, Dartmouth, England pada 2 Ogos 2001.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar dihadapan Bangunan Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, Dartmouth, England pada 2 Ogos 2001.

Pada 2 Ogos 2001, Maktab Tentera Laut Diraja Britannia telah menempuh satu sejarah yang amat gemilang apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke maktab tersebut.

Keberangkatan Baginda adalah atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen Elizabeth II, Queen of The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dan juga sebagai wakil peribadi Baginda Queen selaku tetamu kehormat diraja di upacara perbarisan tamat latihan ‘The Lord High Admiral’s Division’.

Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bukan itu saja, ia merupakan satu penghormatan yang besar bagi seluruh pegawai di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia dan pegawai-pegawai TLDB yang akan menamatkan latihan pada hari tersebut apatah lagi bagi penulis dan pegawai-pegawai lain yang pada satu ketika dulu pernah menjalani latihan ketenteraan laut di Maktab Tentera Laut tersebut.

Penulis bersama pegawai-pegawai yang lain turut merasa gembira kerana ini adalah juga buat pertama kalinya kerabat diraja Brunei menjejakkan kaki di bumi Dartmouth ini. Malahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah kerabat diraja luar negara yang kedua menjadi tetamu diraja di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia ini selain Putera Mahkota Haakon, Putera Mahkota Negara Norway.

Semasa waktu pagi hari di Dartmouth, pada awalnya keadaan cuaca diramalkan hujan dengan lebat yang mana pegawai kajicuaca maktab tersebut sendiri agak kecewa apabila melihat keadaan gambar satelit yang menunjukkan kelompok-kelompok awan hitam yang tebal menyelubungi Dartmouth ketika itu.

Namun dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala dan berkat daulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, raja yang dikasihi, setelah keberangkatan Baginda cuaca bertukar menjadi baik dan cerah. Dengan suasana keadaan ini, ianya telah memeriahkan lagi suasana upacara perbarisan tamat latihan tersebut.

Bersempena dengan lawatan Baginda Sultan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II dengan amat sukacitanya telah menganugerahkan pangkat Laksamana Tentera Laut Diraja British (Admiral Royal Navy) ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Penulis kira ini adalah satu penghargaan yang sangat tinggi nilainya bukan saja kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bahkan juga bagi seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam. Kegembiraan ini lebih-lebih lagi turut dirasakan terutamanya di kalangan pegawai-pegawai dan seluruh anggota TLDB.

Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, Dartmouth, England mula digunakan pada tahun 1905.
Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, Dartmouth, England mula digunakan pada tahun 1905.

Dartmouth masih lagi tidak banyak berubah. Ia tetap terletak indah di muara sungai Dart. Sungainya yang sentiasa tertutup daripada perairan yang memisahkan daripada lautan Atlantik yang bergelora itu akan tetap saja dipandang indah terutamanya dengan pemandangan kapal-kapal persiaran berlabuh di tepi sungai Dart.

Masih jelas di dalam ingatan penulis bagaimana keolahan dan rasanya apabila memasuki sahaja pintu besar Maktab Tentera Laut Diraja Britannia. Penulis juga masih ingat bagaimana keadaan penulis ditempatkan bersama dengan rakan-rakan penulis yang terdiri daripada pegawai-pegawai British, iaitu seramai enam orang Pegawai Kadet dalam satu ‘cabin’. Ini adalah satu-satunya nostalgia yang tidak mungkin akan dapat dilupakan.

Dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dari sungai Dart, penulis masih dapat rasakan bau air masin sungai Dart itu kerana ia telah menjadi tempat permainan penulis bersama rakan-rakan penulis disepanjang kursus tersebut.

Di sini jugalah penulis mula belajar melayarkan berbagai jenis perahu-perahu layar dan mengemudi kapal-kapal kecil di bawah arahan jurulatih-jurulatih yang berpengalaman dari Tentera Laut Diraja British dan Royal Marines Commando.

Penulis sangat bernasib baik dan beruntung kerana telah berpeluang mengikuti latihan asas pegawai tentera laut di Maktab Tentera Laut Diraja Britannia, iaitu satu-satunya institusi yang terkemuka di dunia. Di atas kejayaan ini berbanyak-banyak terima kasih diucapkan kepada semua jurulatih-jurulatih dan Staf Maktab Tentera Laut Diraja Britannia yang mana terlibat melatih pegawai-pegawai muda TLDB pada satu ketika dahulu.

Untuk mu ‘Wira Samudera’, yang mana telah sama-sama memperjuangkan kedaulatan Raja, bangsa dan tanah air yang tercinta, serta mempertahankan kedaulatan perairan negara diucapkan selamat bertugas dan selamat maju jaya.

Jasa dan Bakti

Tetap dicurah

Walau badai mendatang

Tetap ditempuh, tanpa menyerah

(Penulis adalah bekas Pemerintah Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei)