Malam Anugerah Sukan Polis

Malam Anugerah Sukan Polis

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Kejohanan Olahraga Antara Cawangan Pasukan Polis Diraja Brunei Ke-30 bagi 2015 berakhir dengan Majlis Malam Anugerah Sukan Polis Diraja Brunei, yang berlangsung di Bankuet Mess Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor serta datin yang kemudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Juara kejohanan pada tahun ini ialah Cawangan B yang berjaya mengutip 15 pingat emas, 11 perak dan lima gangsa, di tempat kedua ialah Cawangan A yang berjaya mendapatkan 11 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa manakala tempat ketiga disandang oleh Cawangan D dengan mengutip tiga emas, sembilan perak dan enam gangsa.

Turut diumumkan ialah Anugerah bagi Perbarisan Terbaik yang dimenangi oleh Cawangan A, diikuti oleh Cawangan B di tempat kedua.

Sementara dalam acara olahraga, Koperal 4307 Michael anak Angah berjaya mencatat lontaran sejauh 50.59 meter dalam acara rejam lembing dan telah memecahkan rekod polis.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyampaikan piala kemenangan Cawangan Terbaik kepada Ketua Cawangan B.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyampaikan piala kemenangan Cawangan Terbaik kepada Ketua Cawangan B.

Rekrut Wanita 6349 Norfazliana binti Mustapa juga mencatat rekod polis baru dalam acara larian 1500 meter wanita dengan catatan masa 6:45.20 saat.

Majlis pada malam itu juga mengumumkan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik.

Olahragawan Terbaik disandang oleh Koperal 4672 Mohd Azhar Sabre bin Haji Rahim manakala Olahragawati Terbaik dimenangi oleh W/Sgt 2957 Alinawati binti Haji Ali Akbar. Anugerah Atlet Lelaki Terbaik disandang oleh APO6682 NurJamri bin Johari dari Cawangan A dalam sukan lumba basikal dan Atlet Wanita Terbaik ialah W/Sgt 2957 Alinawati binti Haji Ali Akbar.

Kejohanan itu mempertandingkan sembilan acara sukan dan disertai kira-kira 180 pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA