Malam Deepavali disambut meriah

Malam Deepavali disambut meriah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 27 Nov – Lebih 600 orang masyarakat India di Daerah Belait, menghadiri Majlis Malam Sambutan Hari Deepavali yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan penuh warna-warni yang berlangsung di Pusat Insani, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Duta Besar India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Ashok Kumar Amrohi, yang dalam ucapannya pada majlis itu melahirkan penghargaan atas inisiatif Persatuan India Belait (IAB) yang terus mengendalikan perayaan penting itu bagi masyarakat India.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha-usaha yang dilakukan ke arah pelaksanaan Skim Insuran Pendapatan Rendah bagi masyarakat tersebut.

Turut hadir selaku tetamu khas ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib yang turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada SMARTER Brunei.

Antara persembahan tarian dan nyanyian daripada ahli-ahli IAB yang memeriahkan lagi sambutan Hari Deepavali.
Antara persembahan tarian dan nyanyian daripada ahli-ahli IAB yang memeriahkan lagi sambutan Hari Deepavali.

Hadir sama ialah Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap serta beberapa orang ahli komuniti perniagaan di daerah ini.

Presiden IAB, Devarajan, dalam ucapan alu-aluannya, merakamkan penghargaan dan terima kasih ke atas sokongan padu daripada ahli-ahli persatuan yang terdiri daripada masyarakat India di daerah ini daripada pelbagai golongan usia, yang selama ini terus memberikan kerjasama semua aktiviti yang dianjurkan dan dikendalikan.

Majlis telah diceriakan dengan berbagai-bagai persembahan tarian klasik India, muzik dan sebagainya di samping tayangan video mengimbau kembali aktiviti-aktiviti yang telah diadakan oleh IAB.

ARTIKEL YANG SAMA