Malam Gala hargai jasa para tokoh

Malam Gala hargai jasa para tokoh

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Bagi menghargai para penduduk kampung yang telah menunjukkan keupayaan dan kebolehan yang patut dicontohi dan dibanggakan, Jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia telah menganjurkan Majlis Malam Gala, Anugerah Tokoh-tokoh Kampung Setia yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar dan Isteri.

Pengerusi majlis, Supt (B) Haji Yahya bin Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata penduduk yang diketengahkan dalam majlis itu merupakan saudara-saudara yang patut dicontohi dan ahli jawatankuasa pengendali mengkategorikan mereka sebagai tokoh-tokoh Kampung Setia yang dicintai.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyempurnakan pelancaran Kalendar 69 Saudara Ku bagi Tahun 2016 yang mengandungi potret-potret Saudara Ku yang terdiri daripada para tokoh, ahli-ahli jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia serta kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan sepanjang tahun 2015.

Majlis kemudian disusuli dengan penyampaian kalendar kepada ahli-ahli jawatankuasa dan mereka yang terpilih oleh Ketua Kampung Setia ‘A’, Pegawai Waran 2 (B) Haji Asli bin Haji Mamut.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para penerima anugerah tokoh-tokoh.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para penerima anugerah tokoh-tokoh.
Isteri tetamu kehormat bergambar ramai bersama para isteri Ahli-ahli Jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia.
Isteri tetamu kehormat bergambar ramai bersama para isteri Ahli-ahli Jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia.

Acara kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Tokoh-tokoh Kampung Setia kepada 15 orang yang terbahagi kepada empat anugerah iaitu Anugerah Tokoh Saudara Ku, Anugerah Tokoh Pemimpin, Anugerah Tokoh Pembangun Belia dan Anugerah Tokoh Intelek yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Anugerah Tokoh Saudara Ku diterima oleh empat orang iaitu Haji Ibrahim bin Kassim, Haji Ahmad bin Haji Abang Man dan Haji Osman bin Durama.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Pemimpin pula terdiri daripada Penghulu Mukim Sungai Kebun, Pateh Dato Paduka Haji Masri bin Ismail; mantan Ketua Kampung Setia ‘A’, Pengarah Haji Kapitan bin Pengarah Haji Besi; mantan Ketua Kampung Setia ‘B’, Haji Musa bin Pengarah Haji Jair dan mantan Ketua Kampung Setia ‘B’, Pegawai Waran 2 (B) Haji Kamis bin Haji Metassan.

Dua orang pula menerima Anugerah Tokoh Pembangun Belia iaitu mantan Yang Di-Pertua Persatuan Angkatan Kampung Setia (AKSE), Allahyarham Zainal bin Haji Kassim dan Haji Marzuki bin Haji Salleh.

Anugerah Tokoh Intelek pula diberikan kepada lima orang penerima yang terdiri daripada Haji Bidin bin Haji Ibrahim, Haji Ramlee bin Haji Bakir, Dr. Haji Mohammad bin Haji Kassim, Dr. Haji Asbol bin Haji Mail dan Dr. Haji Debiding bin Haji Dollah.

Penganugerahan kepada tokoh-tokoh tersebut adalah berdasarkan kepada penglibatan mereka dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, keagamaan, pendidikan dan perekonomian dan sebagainya. – Md Haslen

ARTIKEL YANG SAMA