Malam Jambangan Kasih ASTERAWANI

Malam Jambangan Kasih ASTERAWANI

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Pentas Perayaan di kawasan lapang berhadapan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, di ibu negara, malam ini, telah dimeriahkan dengan Malam Jambangan Kasih anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI).

Acara berkenaan telah diselajurkan dengan pelancaran cekera padat (CD) ‘Jambangan Kasih’, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman selaku tetamu kehormat.

Ketua 1 ASTERAWANI, selaku pengerusi majlis, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dalam ucapannya menjelaskan, penerbitan CD berkenaan adalah untuk menanamkan rasa cinta sebagai rakyat negara ini kepada raja dan sebagai cetusan rasa kasih kepada raja yang tersayang.

“Saya rasa objektif ini akan tercapai melalui penzahiran rasa cinta kasih mereka melalui bunyi, kata, frasa, ayat dan baris-baris puisi yang mereka hasilkan.”

Datin Paduka Hajah Adina semasa melancarkan CD ‘Jambangan Kasih’.
Datin Paduka Hajah Adina semasa melancarkan CD ‘Jambangan Kasih’.
Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim (4 kanan), Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain di acara Malam Jambangan Kasih ASTERAWANI.
Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim (4 kanan), Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain di acara Malam Jambangan Kasih ASTERAWANI.

Penerbitan CD yang julung-julung kalinya ini, jelas beliau adalah bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan telah dihasilkan oleh enam orang penyair.

Para penyair berkenaan terdiri daripada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim atau dikenali dengan nama pena ‘Ibnu Abdur-Raheem’, Allahyarham Dato Paduka Haji Sumadi atau dikenali sebagai Kumala Negara, Sosonjan A. Khan yang menggunakan nama pena Sutera Kelabu, Hajah Sariani dengan nama pena Sariani HI, Hajah Karmila yang dikenali sebagai Kris Karmila dan Hajah Zaiton yang dikenali dengan Zai HMT.

Acara pentas perayaan malam ini turut dimeriahkan lagi dengan acara deklamasi puisi, kuiz dan menambang syair.

ARTIKEL YANG SAMA