Malam Kilauan Emas Daerah Belait

Malam Kilauan Emas Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Julai – Pentas Perayaan Daerah Belait sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun terus dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, dan malam tadi, para pengunjung telah dibawa mengenang kembali zaman tahun 70an menerusi pertandingan karaoke ‘Malam Kilauan Emas’.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali. Pertandingan anjuran Persatuan Kebajikan Perempuan Belait itu telah disertai sembilan orang peserta, dengan lapan orang menyertai kategori solo dan tiga pasangan menyertai kategori duet.

Melalui tema lagu-lagu 70an, antara lagu-lagu yang dibawakan adalah yang dipopularkan dalam tahun tersebut antaranya, Penawar Rindu, Kuala Lumpur dan Kisah Rumah Tangga.

Pertandingan telah dihakimkan oleh penyanyi veteran yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di daerah ini, iaitu Awang Ramli Kimong dan Hajah Julia Chee serta Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap.

Pasangan pemenang juara kategori berduet menerima hadiah yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Belait.
Pasangan pemenang juara kategori berduet menerima hadiah yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Belait.

Muncul menjuarai kategori solo dalam pertandingan tersebut ialah Awang Ali Rahman yang membawa lagu Pelita Hati dengan mencatat markah 73.6 peratus, diikuti Haji Harun Haji Muhin ditempat kedua dengan markah 72.3 peratus dan tempat ketiga dengan markah 63.2 peratus dimenangi oleh Dayang Lauyah binti Haji Metali.

Sementara itu, kategori berduet pula dijuarai oleh pasangan Awang Ali Rahman dan Dayang Saerah dengan lagu Jiwa Bergelora setelah berjaya mencatat markah 80 peratus.

Sebagai memeriahkan lagi acara, beberapa orang tetamu juga telah mempersembahkan nyanyian mereka.

ARTIKEL YANG SAMA