Malam penghargaan BAB

Malam penghargaan BAB

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Sebagai penghargaan atas inisiatif dan sumbangan yang dibuat oleh ahli-ahlinya dalam membangunkan industri perbankan negara, Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Penghargaan yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman.

Beliau dalam ucapannya antara lain menekankan bahawa sektor kewangan, khususnya industri perbankan memainkan peranan penting sebagai pendorong untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di negara ini kepada sasaran lapan peratus sumbangan sektor kewangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam ucapannya itu, beliau turut memberi tumpuan kepada keutamaan AMBD dalam tempoh lima tahun lepas dan mengulas mengenai komitmen yang kuat serta sokongan yang ditunjukkan oleh industri perbankan dalam menuju ke arah aspirasi Wawasan 2035.

Awang Yusof juga mengongsikan pandangan beliau mengenai ekonomi domestik dan persekitaran kewangan di Brunei, bersempena dengan kemajuan integrasi ASEAN.

Pengarah Urusan AMBD yang hadir selaku tetamu kehormat bergambar ramai bersama jemputan-jemputan majlis.
Pengarah Urusan AMBD yang hadir selaku tetamu kehormat bergambar ramai bersama jemputan-jemputan majlis.

Majlis turut mendengarkan ucapan daripada Pengerusi BAB yang bakal menamatkan perkhidmatannya, Rino Donosepoetro dari Bank Standard Chartered dan bakal pengerusi baru BAB, Pierre Imhof dari Bank Baiduri.

Rino Donosepoetro dalam ucapannya telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AMBD atas sokongan dan bimbingan mereka kepada BAB semasa tempoh perkhidmatan beliau.

“Kami amat menghargai tahap kolaborasi dan kerjasama yang diberikan kepada kami dalam mempromosikan lagi industri perbankan negara,” ujarnya.

Manakala itu, Rino Donosepoetro pula menekankan bahawa tahun lalu telah menyaksikan persekitaran operasi yang semakin mencabar, antara lain disebabkan harga minyak rendah berpanjangan, yang meletakkan keperluan bagi pempelbagaian ekonomi, pembangunan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) yang pesat dan meletakkan pelaburan langsung asing (FDI) di barisan hadapan dalam agenda negara.

Beliau turut menambah bahawa industri perbankan telah memainkan peranan aktif dalam aktiviti-aktiviti sokongan seperti klinik-klinik literasi dan pendidikan kewangan untuk PKS dan aktiviti-aktiviti antarabangsa melalui Persatuan Perbankan ASEAN dan juga rundingan dua hala dengan persatuan-persatuan perbankan di negara-negara lain.

Lebih kurang 15 orang tetamu dari AMBD menghadiri acara tersebut yang turut termasuk Naib Pengerusi BAB dan Naib Presiden & Pengurus Besar Kanan United Overseas Bank, Abdul Razak bin Abdul Malek; Setiausaha Kehormat dan Bendahari BAB yang juga selaku Ketua Cawangan Negara dan Pengurus Besar Malayan Banking, Lim Yu Kwang; Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Mubashar Khobhar; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong & Shanghai Banking (HSBC), Todd Wilcox; dan Timbalan Ketua Cawangan Negara Bank RHB, Tunku Mohd Firdaus bin Tunku Yahaya.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Urusan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Haji Rosdi Amin bin Dato Paduka Haji Yaakub dan Ketua Perhubungan Pelanggan State Street, Brunei, Edmund Teo, dan juga pihak pengurusan kanan bank-bank.

Majlis ini merupakan peluang bagi anggota BAB, ahli-ahli pengurusan kanan AMD dan bank-bank, untuk bertukar-tukar pandangan dan mengukuhkan hubungan kerja antara mereka.

ARTIKEL YANG SAMA