Malam penghargaan bersama Dato Jalaludin

Malam penghargaan bersama Dato Jalaludin

Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Seramai 30 penggiat seni, artis tanah air, krew produksi, penulis skrip, pelakon dan penyanyi, baru-baru ini, telah berpeluang untuk beramah mesra bersama seorang pelakon veteran terkenal dari Malaysia, Dato Jalaludin Hassan dan isteri, Datin Hashimah binti Haji Akhsan pada Majlis Malam Penghargaan.

Majlis yang berlangsung di De’layar Seafood Restaurant & Catering Tungku Rimba itu merupakan anjuran Fun Artis sebagai penghargaan kepada Dato Jalaludin Hassan, yang terlibat dalam projek penggambaran negara ini.

Di samping, itu ia juga bagi menjalinkan tali silaturahim bersama penggiat seni tempatan serta berkongsi pengalaman dalam seni lakonan, tatacara dan penghayatan, perwatakan, ekspresi wajah, intonasi penyampaian dialog, renungan, cara menambat emosi para penonton dan bermacam-macam lagi.

Turut hadir ialah penerbit Begoharizul Production House, Awang Nooralimin bin Haji Gharip yang turut dijemput ke majlis berkenaan.

Dato Jalaludin Hassan (kiri) menerima cenderamata daripada Hajah Noor Monasaliena.
Dato Jalaludin Hassan (kiri) menerima cenderamata daripada Hajah Noor Monasaliena.
Datin Hashimah menerima cenderahati.
Datin Hashimah menerima cenderahati.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd Salleh dari Fun Artis yang diikuti dengan ucapan balas daripada Dato Jalaludin Hassan.

Beliau dalam ucapannya antara lain berkata, tidak semua orang diberikan anugerah bakat, dan bakat yang dimiliki itu hanyalah sebahagian kecil daripada pemberian Allah SWT dan haruslah dihargai serta tidak dipandang ringan.

Menurutnya lagi, seseorang itu haruslah mengambil serius terhadap bidang yang diceburinya seperti mempunyai sikap disiplin, fokus, memahami dan menghormati skrip serta bekerja secara berpasukan dalam usaha untuk membuahkan hasil yang baik. Dato Jalaludin Hassan berada di negara ini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari bagi penggambaran sebuah projek filem dengan kerjasama pihak Fun Artist.

ARTIKEL YANG SAMA