Malam penghargaan buat TelBru

Malam penghargaan buat TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sejak pencapaian mencatat sambungan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) ke 25,000 buah rumah pada Februari 2015, Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah melakar satu lagi peristiwa penting apabila projek itu menambah 5,000 lagi sambungan, mencecah 30,000 buah rumah di Daerah Brunei dan Muara serta Belait menjelang Julai 2015.

Dengan pencapaian ini, TelBru optimistik bahawa sasarannya untuk mencapai 45,000 sambungan HSBB menjelang 2017 dapat direalisasikan, menurut kenyataan TelBru.

Bagi meraikan pencapaian ini, TelBru telah mengadakan majlis malam penghargaan yang berlangsung di Restoran Tarindak d’Polo, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, baru-baru ini. Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay, ketua-ketua pegawai TelBru, warga pengurusan kanan, pasukan FTTH dan semua kakitangan dari pelbagai jabatan di bawahnya.

Warga TelBru bergambar ramai ketika malam penghargaan tersebut.
Warga TelBru bergambar ramai ketika malam penghargaan tersebut.
David Kay (kanan) menyampaikan plak kepada Edwin Lim.
David Kay (kanan) menyampaikan plak kepada Edwin Lim.

Semasa majlis itu, satu plak 30,000 Home Connect telah disampaikan oleh David Kay kepada Pengurus Besar Rangkaian Akses TelBru, Edwin Lim bagi pihak pasukan FTTH sebagai tanda memperingati pencapaian itu.

Menurut kenyataan TelBru, projek HSBB, yang dilancarkan pada 2013 dengan tujuan untuk menyediakan pengalaman Internet yang lebih baik kepada rakyat Brunei, pada masa ini meluaskan kawasan liputannya dan terus membuat kemajuan dalam melaksanakan pemasangan infrastruktur HSBB di kawasan-kawasan berlainan di seluruh negara.

Para pelanggan boleh memeriksa sama ada kawasan mereka diliputi rangkaian HSBB menerusi peta liputan dalam laman sesawang TelBru di alamat www.telbru.com.bn/hsbb-areas yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA