Malam Silang Budaya 26 Ogos ini

Malam Silang Budaya 26 Ogos ini

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Ogos – Pentas Perayaan di Tudung Saji, Pekan Belait terus dimeriahkan dengan pelbagai persembahan bagi memeriahkan malam-malam perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, dan pada 26 Ogos ini giliran Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait untuk mengadakan persembahan bercorak kebudayaan dan keagamaan.

Pengerusi majlis, Hajah Kertini binti Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Abu Hanifah, ketika ditemui menjelaskan bahawa pementasan Malam Silang Budaya itu akan melibatkan enam majlis perundingan kampung (MPK) di bawah Mukim Kuala Belait iaitu MPK Pekan Kuala Belai, MPK Mumong, MPK Pandan A, MPK Pandan B, MPK Pandan C dan MPK Sungai Teraban.

“Malam Silang Budaya yang bercorakkan kebudayaan dan keagamaan itu adalah untuk mengetengahkan bahawa budaya dan agama tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat di negara kita,” jelas beliau.

Menurutnya, antara objektif dan tujuan acara itu adalah untuk memperkembangkan dan mengetengahkan budaya bangsa kepada kaum belia dan masyarakat umum amnya, di samping menjana minda masyarakat ke arah meminati dan menghayati budaya berbilang bangsa / etnik yang tidak hilang ditelan zaman. Selain itu, ia juga dapat menjalinkan silaturahim dan prihatin dalam memartabatkan budaya bangsa / etnik serta memupuk semangat kemasyarakatan yang berharmoni dan setiakawan melalui persembahan yang berkonsepkan Melayu, Islam dan beraja.

Dalam pada itu, ia juga untuk menggalakkan penyertaan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, masyarakat setempat dan penduduk Daerah Belait dalam sama-sama meraikan Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 bagi Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA