Malaria di Thailand boleh dihapuskan pada 2024

Malaria di Thailand boleh dihapuskan pada 2024

BANGKOK, 16 Feb – Thailand berkata malaria di negara itu boleh dihapuskan pada 2024 apabila kadar jangkitan dan kematian yang berkaitan dengan penyakit malaria di kalangan rakyat berkurangan sejak beberapa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Admiral Narong Pipatanasai berkata bahawa negara itu akan mengeluarkan satu pelan induk (2017-2026) untuk membolehkan kerajaan mencapai matlamatnya untuk menghapuskan penyakit itu.

“Dalam masa 15 tahun yang lalu, bilangan mereka yang dijangkiti Malaria telah sentiasa menurun dari 150,000 kepada hanya 24,000 tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Daripada jumlah yang dijangkiti penyakit itu tahun lalu, beliau berkata, 57 peratus adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah pesakit dari luar negara, dengan purata usia berusia antara 15 hingga 60 tahun.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan telah memperuntukkan bajet sebanyak Baht2.283 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2021 untuk memerangi dan menghapuskan Malaria menjelang 2024. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA