Malaysia: Aidiladha disambut sederhana

Malaysia: Aidiladha disambut sederhana

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) – Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan, menghayati pengorbanan yang dituntut ajaran Islam.

Cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilakukan di beberapa tempat seperti di masjid, surau, kampung dan taman perumahan.

Jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Namun Masjid Negara masih dipenuhi kira-kira 10,000 umat Islam termasuk warga asing memenuhi ruang untuk menunaikan solat hari raya dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Berkorban Apa Saja’ menyeru umat Islam supaya sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda, pengorbanan kepentingan peribadi, malah jiwa demi menegakkan syiar Islam dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Majlis Ibadah Korban yang dijalankan di Malaysia selepas solat sunat Aidiladha yang diadakan dengan penuh sederhana. - Bernama
Majlis Ibadah Korban yang dijalankan di Malaysia selepas solat sunat Aidiladha yang diadakan dengan penuh sederhana. – Bernama

“Tahap keimanan dan pengabdian kita kepada Allah SWT dapat diukur dengan sejauh mana kesediaan kita untuk berkorban demi mentaati perintah-Nya,” katanya.

Beliau juga turut menyeru umat Islam seluruh negara agar segera menyempurnakan ibadah haji apabila berkemampuan dan janganlah bertangguh.

Syaikh Ismail kemudian mengakhiri khutbah dengan mendoakan mangsa jemaah haji dan keluarga mangsa yang terlibat dalam musibah tragedi runtuhan kren di Masjidils Haram pada 11 Sept lepas agar tabah dan reda dengan musibah tersebut.

“Seluruh rakyat Malaysia turut berdukacita dan bersimpati dengan tragedi tersebut,” katanya.