Malaysia akan terus sumbang kepada program bina upaya Bangsamoro

Malaysia akan terus sumbang kepada program bina upaya Bangsamoro

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Malaysia akan terus menyumbang kepada program bina upaya Bangsamoro di Mindanao ke arah penubuhan entiti politik kaum itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata Malaysia juga memberi jaminan untuk meneruskan komitmen sebagai fasilitator kepada Proses Rundingan Damai Selatan Filipina serta penglibatan dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa Mindanao (IMT).

“Malaysia telah menegaskan kepentingan kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan kerjasama erat yang telah sekian lama terjalin,” menurut kenyataan itu. Perkara berkenaan antara yang dinyatakan sewaktu kunjungan hormat Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Perfecto Yasay ke atas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, semalam.

Ini adalah pertemuan kali pertama antara kedua-dua menteri sejak beliau dilantik sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina. Turut serta dalam pertemuan itu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan pegawai-pegawai kanan Kementerian manakala Yasay diiringi Duta Filipina ke Malaysia, J.Eduardo Malaya bersama pegawai-pegawai kanan negara itu.

Dalam pertemuan itu, Malaysia menekankan kepentingan untuk bersama-sama dengan Indonesia dan Filipina bekerja rapat bagi mengukuhkan kerjasama serta koordinasi ketiga-tiga negara dalam meningkatkan keselamatan maritim di perairan khususnya bagi menangani insiden penculikan.

Selain itu, ketiga-tiga negara juga harus mengambil tindakan ke arah memuktamadkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkaitan di bawah “Frameworkfor Trilateral Cooperative Arrangement Indonesia-Malaysia-The Philippines in the Maritime Areas of Common Concern” yang ditandatangani pada 14 Julai 2016. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA