Malaysia akhir jelajah oceania dengan kekalahan ketiga

Malaysia akhir jelajah oceania dengan kekalahan ketiga

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Skuad hoki kebangsaan mengakhiri Jelajah Ocenia dengan mencatatkan kekalahan ketiga berturut-turut kepada juara dunia, Australia, dalam siri perlawanan ujian.

Dalam siri terakhir di Perth, hari ini, skuad ‘Kookaburras’ bimbingan Graham Reid membenam skuad negara 4-0 dengan jaringan hatrik oleh Jamie Dwyer pada minit ke-12, 23 dan minit ke-42 manakala Aran Zalewski pada minit keempat.

Dalam dua perlawanan ujian sebelum ini, Australia menang 7-1 dan 5-0.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh memuji skuad negara bimbingan Stephen Van Huizen kerana menunjukkan peningkatan yang membanggakan dalam jelajah latihan dan perlawanan persahabatan selama 10 hari itu.

“Secara keseluruhan, Australia jelas sebuah pasukan yang paling kuat dan kita dapat menimba pengalaman dan pengajaran yang baik.

“Kita turut menampilkan beberapa aksi yang menarik yang memberi galakkan kepada sukan hoki tanah air. Barisan jurulatih dan pemain telah menunjukkan prestasi yang baik dan mengakui usaha gigih perlu dilakukan,” kata Walsh dalam kenyataan di sini.

ARTIKEL YANG SAMA